RAZIE (kanan) gesa rakan bangkit benam Perancis.
RAZIE (kanan) gesa rakan bangkit benam Perancis.

Antwerp: Selepas membiarkan diri mereka tersepit, pemain Malaysia berikrar akan keluar daripada kemelut itu dengan bangkit menduduki tempat kelima, bermula dengan menentang Perancis hari ini, bagi menghidupkan kembali peluang ke Olimpik.

Malaysia yang tewas kepada India 2-3 di suku akhir saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, sekali gus terlepas peluang layak ke Rio, akan mengharungi baki dua perlawanan klasifikasi ke-5/8 dengan kesukaran lantaran moral merudum dan kekecewaan menyelubungi.

Bagaimanapun, ketua pasukan Muhamad Razie Rahim tidak menganggap segala-galanya sudah berakhir dan percaya peluang tetap ada kerana semua pemain sudah berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi menewaskan Perancis dan juga pemenang di antara pertemuan Ireland dan Pakistan, Ahad ini.

“Kehidupan mesti diteruskan,” pemain berusia 27 tahun itu berfalsafah. “Kami akan cuba untuk tempat kelima. Walaupun sukar, mereka semua sudah berjanji untuk cuba berikan yang terbaik bagi dua perlawanan itu. Tempat kelima saja peluang yang kita ada sekarang.”

Perancis yang tewas tipis 4-5 kepada tuan rumah Belgium pada satu lagi suku akhir, bukan lawan mudah kerana mereka mempunyai ramai pemain dari skuad remaja yang menewaskan Malaysia ketika separuh akhir Piala Dunia Remaja di New Delhi dua tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:07 AM