KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat didera bapanya di rumah mereka di Jalan SS2, Petaling Jaya pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh oleh kedua ibu bapanya yang mendakwa anak mereka terjatuh dari tangga dua hari sebelum itu dan meninggal dunia kira-kira jam 9.45 malam Jumaat lepas.

“Doktor yang merawat mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian kepala, lengan kanan, perut dan bahagian belakang kanak-kanak itu sebelum dia disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian. Doktor berkenaan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sea Park.

“Punca kematian adalah disebabkan kecederaan teruk di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau hasil siasatan polis mendapati terdapat unsur mangsa dicederakan dan pihaknya akan memanggil bapa kanak-kanak itu untuk membantu siasatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:49 PM