RUANG kokpit yang kemas dan premium.
RUANG kokpit yang kemas dan premium.
BUTANG brek tangan elektronik berhampiran tombol gear.
BUTANG brek tangan elektronik berhampiran tombol gear.
PADEL penukaran gear di belakang stereng.
PADEL penukaran gear di belakang stereng.
REKAAN Ford terkini.
REKAAN Ford terkini.
SEGMEN D bergaya dengan bentuk aerodinamik.
SEGMEN D bergaya dengan bentuk aerodinamik.

Ketika diberi peluang memandu Ford Mondeo terbaru ini, penulis dapat berasakan bahawa banyak perbezaannya berbanding model terdahulu yang dipandu tiga tahun lalu.

Ternyata jentera jenama Amerika Syarikat yang dipasang dan diimport sepenuhnya dari Eropah itu mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu bersaing dengan model lain berada di pasaran.

Model Ford Mondeo sebenarnya diperkenalkan pada 1993 dan yang dipandu uji dalam ruangan ini adalah generasi keempat.

Penulis tertarik dengan enjin EcoBoost yang dianggap sebagai nadi terbaru buat Ford Mondeo dalam kategori kenderaan segmen D di negara ini.

Walaupun enjinnya bersesaran 1,999 cc, kuasa maksimumnya mencecah 240 PS dan lebih mantap berbanding model terdahulu yang menawarkan hanya 203 PS.

Ia juga menawarkan pemanduan bergaya sport dan selesa apabila dipadankan dengan transmisi automatik ‘Select Shift’ enam kelajuan untuk memberi prestasi yang me­ngagumkan.

Kuasa pecutannya ternyata lebih cepat seolah-olah badannya yang besar dengan berat 2,220 kilogram (kg) tidak memberi sebarang kesan untuk memecut di jalan raya.

Jentera ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 240 km/j dan ia lebih laju berbanding model sebelumnya.

Ternyata enjin EcoBoost bantuan pengecas turbo ini boleh dikatakan berada di landasan yang tepat dengan peredaran industri automotif masa kini.

Kombinasi sistem pengecas turbo, pancitan terus bahan api dan pemasaan aci sesondol boleh ubah bebas berkembar pada enjin itu turut menawarkan penjimatan bahan api sehingga 8 liter bagi 100 kilometer.

Tidak hairan, penulis tidak perlu mengisi minyak sepanjang empat hari memandunya dengan perjalanan lebih 400 kilometer di kawasan bandar.

Walaupun bentuknya besar dan panjang, pengendaliannya sangat mudah selain sterengnya memberi tindak balas cepat ketika melalui laluan berselekoh.

Sistem suspensinya yang sedikit lembut ternyata memberi keselesaan kepada penumpang untuk berdepan laluan tidak rata atau berlubang.

Rekaan luarannya menerima sentuhan generasi baru Ford yang dihasilkan dengan menekankan bentuk aerodinamik, sekali gus memberi imej bergaya dan garang.

Rekaannya juga tampak mempesonakan jika dilihat dari hadapan kerana terserlah ‘wajah’ Ford Mondeo yang baru dengan jeriji berkrom.

Garisan pada bahagian badan serta lampu belakang menampakkan ia ringkas dan menjadi idaman kepada mereka yang berkeluarga.

Sebaik membuka pintunya, ruang kabin disaluti warna hitam tampak kemas dan mewah yang memberi impak menarik pada model ini.

Ruang kokpit tampak selesa dengan kombinasi tempat duduk dan stereng yang dipadankan beberapa butang, sekali gus memberi kemudahan kepada pemandunya.

Ford Mondeo baru itu turut menampilkan beberapa teknologi pintar seperti ciri MyKey Ford yang eksklusif.

Ciri itu membolehkan pemandu memprogramkan kunci itu dengan beberapa tetapan seperti menetapkan had kelajuan maksimum, amaran pemakaian tali pinggang keledar dan pembesar suara audio.

Sistem ketersambungan SYNC 2 Ford merangkumi skrin sentuh bersaiz lapan inci menggunakan arahan suara yang mudah.

Sistem audio jenama Sony yang dipadankan dengan sembilan pembesar suara turut memantapkan lagi kualiti bunyi, selain mampu menghilangkan kebosanan kepada penumpang dan pemandunya.

Corong penyaman udara yang boleh dikawal secara berasingan iaitu bahagian kiri dan kanan memberi keselesaan kepada penumpang dan sesuai dengan cuaca panas di negara ini.

Jentera ini mengambil berat berhubung ciri keselamatan apabila dilengkapi tujuh beg udara merangkumi penumpang hadapan, perlindungan hentakan tepi serta tabir penumpang belakang.

Ia turut dilengkapi Sistem Brek AntiKunci (ABS) dengan Penyuraian Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) adalah standard.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:05 AM