FOCUS ketika diuji pengendalian.
FOCUS ketika diuji pengendalian.
Lizam Ridzuan


Sejak enjin ini diperkenalkan oleh Ford pada 2009, lebih lima juta kenderaan dilengkapi dengan enjin EcoBoost dijual di seluruh dunia dan di Malaysia antara varian enjin ditawarkan adalah 1.0L, 1.5L, 1.6L, 2.0L dan 2.3L kepada pengguna.

Selain bertenaga dengan penggunaan bahan api yang efisien, enjin ini diuji sepenuhnya oleh pihak media dalam aktiviti ‘Ford EcoBoost Track Day Experience’ yang dianjurkan baru-baru ini.

Sebanyak 10 buah kenderaan pelbagai model Ford antaranya Fiesta, Mondeo, S-Max, Focus dan Kuga dengan aktiviti dimulakan dengan cabaran ‘RM20 Dare’ di mana peserta bergerak sejauh 100km dari Cyberjaya menuju Port Dickson dengan catatan penggunaan bahan api sebagai objektif utama.

Penulis berpeluang memandu uji kenderaan pelbagai guna (MPV) Ford S-Max dengan enjin 2.0 liter yang bukan sahaja bertenaga dan selesa dalam pelbagai kelajuan tinggi, ia mampu mencatatkan penggunaan petrol sekitar RM20 setibanya di sana.

Bagi model lain pula mencatatkan penggunaan petrol RM12 hingga RM18 yang dipandu pada kelajuan pelbagai dan sekiranya memandu dengan efisien pasti lebih menjimatkan.

Dalam sesi pandu uji itu, semua peserta menuju ke Putrajaya Recreational Airstrip untuk menguji kestabilan dan pengendalian dalam Ujian Ketepatan (slalom) dengan memandu Fiesta dan Focus.

Memandu pada kelajuan tinggi dengan membelok dalam kawasan terhad menguji kuasa tork dan pengendalian yang responsif serta bertenaga pada kedua-dua model berkenaan.

Selain itu, ujian Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dilakukan pada model Mondeo, S-Max dan Kuga dengan ujian membrek serta membelok dan sistem berfungsi dengan baik serta tidak tergelincir dari laluan.

Ujian pecutan turut diadakan sepanjang jarak 300 meter dengan alat pengesan kelajuan dipasang pada kenderaan untuk mencatatkan rekod masa bagi menguji kuasa maksimum.

Ford turut berkongsi teknik pemanduan selamat dengan memberi tip pecutan, jarak membrek dan posisi stereng yang betul ketika aktiviti dijalankan yang boleh digunakan dalam pemanduan harian.

Pada penghujung acara diadakan pula ‘EcoBoost Unboxing’ dengan membuka kotak bersaiz 18x6 kaki yang mengandungi sebuah Mustang dengan enjin 2.3 liter EcoBoost.

Peserta kemudian berpeluang menikmati pemanduan di dalam kenderaan itu dengan seorang pemandu profesional yang melakukan aksi drift di litar yang disediakan sebagai aktiviti terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 11:29 AM