TEMPAT duduk belakang yang selesa.
TEMPAT duduk belakang yang selesa.
FORD Focus tampil gaya sporty.
FORD Focus tampil gaya sporty.
Lizam Ridzuan


Ford Motor Company melalui pengedarnya Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd (SDAC) melancarkan model peningkatan Ford Focus 2016 untuk pasaran tempatan.

Dijana enjin 1.5 liter EcoBoost petrol yang paling berkuasa untuk pasaran kereta kompak di Malaysia dengan dilengkapi pelbagai teknologi dan sistem pintar.

Enjin empat silinder menghasilkan kuasa maksimum 180PS dan tork sehingga 240 Nm, selain memberi penjimatan penggunaan petrol serta keselesaan.

Ia juga lebih bertenaga daripada kereta yang berkuasa 2.0 liter dengan teknologi EcoBoost pengecas turbo tekanan tinggi suntikan terus dan aci sesondol pemasaan boleh ubah berkembar bebas bukan sahaja responsif, malah menghasilkan emisi rendah.

Transmisi termaju enam kelajuan automatik Selectshift sangat lancar ketika pertukaran gear. Bahagian luarnya lebih lebar dan rendah diberi sentuhan rekaan tanda nama jeriji Ford moden dengan padanan lampu nyalaan siang serta lampu kabus tampak agresif.

Pengarah Urusan SDAC, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, ruang dalaman ditambah pelbagai ciri eksklusif dan pintar seperti SYNC 2 dengan skrin sentuh bersaiz lapan inci memberi kawalan bebas tangan untuk aplikasi telefon, hiburan dan suhu.

“Focus baharu ini hampir memenuhi setiap aspek seperti rekaan, teknologi pintar, pemanduan dinamik dan kemasan penghasilan pasti memberi tawaran yang menarik buat pelanggan di Malaysia,” katanya.

Model itu juga dipenuhi dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, Peralihan Kestabilan Dipertingkat untuk menjangka gelinciran kenderaan bagi mengelak pemandu hilang kawalan dan Pemberhentian Bandar Aktif untuk brek kecemasan secara automatik pada kelajuan sekitar 50 kilometer sejam (km/j) jika ada objek di hadapan.

Ford Focus dilengkapi sistem Bantu Parkir Aktif Dipertingkat bagi memudahkan urusan meletakkan kenderaan sama ada secara menegak atau melintang serta Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dengan Amaran Trafik Melintas.

Model itu hadir dengan enam pilihan warna menarik yang dijual pada harga RM118,888 untuk varian Trend, RM139,888 (Titanium+) serta RM139,888 (Sport+) tidak termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:00 AM