MAJLIS berbuka puasa pada zaman ini lebih banyak tertumpu di hotel dan restoran mewah yang menyediakan pelbagai hidangan bufet.
MAJLIS berbuka puasa pada zaman ini lebih banyak tertumpu di hotel dan restoran mewah yang menyediakan pelbagai hidangan bufet.

“Sambutan Ramadan hari ini dilihat bagaikan ‘budaya’ menjamu selera kerana hotel atau restoran berlumba-lumba menyediakan menu berbuka puasa dengan harga yang tertentu.

“Dulu jarang wujud senario sebegini dan kita sebagai umat Islam berpuasa dan berbuka dengan makanan seadanya,” kata ahli sejarawan dan budaya, Prof Dr Noriah Mohamed.

Beliau tidak menafikan segelintir masyarakat Islam di negara ini yang berbuka dengan makanan banyak seolah-olah nafsu itu didahulukan hingga berlaku pembaziran.

“Apabila berbuka puasa di hotel, kebanyakan mereka turut lalai menunaikan solat Maghrib sekali gus mengabaikan solat sunat Tarawih terutama jika ada acara persembahan atau pertunjukan selepas berbuka.

“Ia jauh berbeza dengan pengalaman berpuasa dulu-dulu. Tiada makanan yang mewah dan juadahnya seada saja.

“Menariknya apabila juadah yang sikit ini pasti bertukar-tukar tangan dengan jiran tetangga. Situasi itu berlangsung selama sebulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kajang, baru-baru ini.

Malah beliau turut me­ngimbau kembali nostalgia berbuka puasa dulu-dulu.

“Dimulakan dengan niat, tamar dan kuih-muih. Selepas itu menunaikan solat Maghrib, kemudian barulah kami makan makanan berat. Ia kelihatan sederhana kerana niat adalah untuk mendahulukan ibadat dan bukan melebihkan nafsu.

“Di sebalik itu juga, senario ibu bapa zaman sekarang yang jarang memasak kerana lebih suka membeli di bazar Ramadan yang wujud umpama cendawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 7:55 AM