KUMPULAN MPP yang menjayakan program hantar juadah berbuka.
KUMPULAN MPP yang menjayakan program hantar juadah berbuka.
Fazurawati Che Lah

Pasti ada dalam kalangan kita yang pernah melalui pengalaman waktu kecil dulu disuruh ibu atau bapa untuk menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran.

Ketika itu juga bekas untuk mengisi juadah dipulangkan semula tapi tidak dibiarkan kosong, sebaliknya diganti dengan makanan lain sebagai tanda ‘balas’ daripada jiran.

Tidak dinafikan amalan bertukar-tukar juadah berbuka puasa adalah tradisi sejak turun-temurun.

Senario hari ini mungkin agak berbeza apabila bazar dan bufet Ramadan memeriahkan bulan puasa yang sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada masyarakat untuk mengamalkannya.

Bagi meneruskan amalan tradisi itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua Ulu Langat, Selangor mengambil peluang berbuat demikian sempena bulan mulia ini.

MPP membuat kejutan ke rumah Pengarah pusat itu dan staf IKTBN Dusun Tua.

Presidennya, Ikhwan Akmal Norzeri berkata, budaya menghantar juadah yang semakin dilupakan dalam kalangan generasi hari ini dijadikan aktiviti pilihan MPP sempena Ramadan tahun ini.

AMALAN menghantar juadah yang dihidupkan MPP.
AMALAN menghantar juadah yang dihidupkan MPP.

“Selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa dan menerima pandangan Presiden Alumni Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Samsudin Oli Mohamed, kami bersetuju untuk menjalankan aktiviti menghantar juadah ke rumah kakitangan IKTBN Dusun Tua.

“Penghantaran juadah berbuka ini termasuk ke rumah Pengarah, Dalila Sharingat dan pegawai lain yang berdekatan dengan asrama kami,” katanya.

Pada masa sama, Setiausaha MPP, Nur Syakila Kamarudin yang berasal dari Kulim, Kedah gembira dengan aktiviti yang dijalankan, sekali gus terubat kerinduan bagaikan berada di kampung halaman.

“Budaya menghantar juadah menjadi kemestian di kampung dan program yang diatur ini sangat menarik.

“Usaha mengembalikan amalan ini wajar diteruskan kerana ia dapat mengeratkan hubungan penuntut dengan warga IKTBN,” katanya.

Program santai yang membabitkan enam exco ini adalah anjuran bersama MPP IKTBN Dusun Tua dan Persatuan Alumni ILKBS Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:59 PM