HUBUNGAN makin rapat dengan Akim.
HUBUNGAN makin rapat dengan Akim.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sejak bercinta dengan Akim, 24, baru kali ini Stacy, 25, belajar menjalani ibadah puasa. Biarpun hanya dua hari, Stacy mengakui bersahur dan berbuka puasa memberi nikmat berbeza.

“Ini pertama kali saya berpuasa. Sepanjang hampir dua minggu umat Islam berpuasa, saya hanya dapat lakukan dua hari sebab kurang sihat.

“Apabila bersahur saya masak sendiri dan saya berbuka puasa di rumah Akim bersama ibu bapanya,” katanya.

Percubaan penyanyi lagu Not For Sale ini berpuasa dilihat langkah awal untuknya mendekati ajaran Islam.

“Jika saya ada jodoh dengan Akim, ini adalah pendekatan saya mendalami agama Islam di samping berpuasa dapat membantu dari segi kesihatan.

“Apa yang saya lakukan ini juga atas nasihat Akim. Dia mahu saya mencuba bagaimana rasanya orang berpuasa. Tidak dinafikan, saya banyak kali mengadu lapar dan dahaga, tapi katanya perlu banyak bersabar,” katanya.

Tambahnya, dia mengakui kekok apabila berbuka puasa bersama ibu bapa kekasihnya itu.

“Walaupun bukan kali pertama saya berjumpa dan makan bersama mereka, tapi suasana berpuasa ini lain. Rasa kekok sebab saya turut berpuasa,” katanya.

Berkenaan sambutan Aidilfitri nanti, seperti tahun sebelumnya Akim akan membawa Stacy pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

“Akim satu-satunya rakan yang saya beraya bersama. Malah, saya juga membantu ibunya memasak dan menyediakan juadah raya. Tahun ini, saya ada tugas baru iaitu menyolek ibu dan kakaknya.

“Jika tahun lalu baju raya kami termasuk anak angkat saya Bella berwarna kuning, tahun ini kami memilih hijau zamrud. Semua itu sudah disediakan lebih awal oleh ibunya,” katanya.

Sementara itu, Akim menyifatkan kehadiran Stacy dalam hidupnya sangat istimewa.

“Keluarga saya sangat okay. Mereka sangat positif dan tidak pernah menghalang. Tambahan pula, Stacy sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Ibu bapa saya membahasakan diri mereka ibu dan ayah apabila bercakap dengannya. Orang lain pun dapat layanan sama, tapi Stacy lebih istimewa,” katanya.

Pendekatan yang diambil dengan mendidik Stacy berpuasa bukan berniat menyuruhnya memeluk Islam.

“Saya tidak pernah memaksa tetapi setiap perkara yang dilakukan itu saya akan terangkan kelebihan. Dari situ sedikit sebanyak dia dapat belajar.

“Ada sebab saya suruh dia belajar berpuasa. Selain dapat menahan lapar, sabar itu adalah kunci utamanya,” katanya.

Soal membawa pulang Stacy berhari raya di kampung, menurut Akim dia mahu mengekalkan tradisi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:40 AM