Ridhatul Rizki


KEWAJIPAN berpuasa pada Ramadan hanya bagi yang sudah mencapai usia akil baligh. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang sudah mula mendidik anak kecil mereka berpuasa seawal usia lima tahun.

Hairunnisa Ramli, 33, yang berasal dari Kuantan, Pahang antara ibu bapa yang mula mendidik anaknya, Fariz Zaakir Nazrul, 7, berpuasa sejak usia 5 tahun.

Kata Hairunnisa, dia menjelaskan kepada anaknya kenapa umat Islam perlu berpuasa sebelum melatih Fariz menahan lapar dan dahaga.

“Anak-anak perlu faham terlebih dahulu kenapa dia perlu berpuasa. Bila dia dah faham, dia tidak akan rasa terbeban dan dengan sendirinya bersedia untuk berpuasa apabila Ramadan hampir tiba,” katanya.

Tambah Hairunnisa, dia juga tidak memaksa anaknya berpuasa sehingga masuk waktu berbuka.

“Saya latih dia mengikut ketahanan badan dia. Jika hari pertama puasa dia hanya mampu bertahan sehingga jam 10 pagi, pada hari kedua dan seterusnya, saya minta dia untuk bertahan lebih lama.

Tapi saya tidak pernah paksa dia berpuasa sampai masuk waktu Maghrib sehingga dia sendiri mampu menahan lapar dan dahaga selama tempoh itu,” kata Hairunnisa.

Bagi ibu kepada empat anak, Roggaya Ab Ghani, 40, dia akan pastikan anak ketiganya, Muhammad Aidid Zikree, 5, tidur lebih awal agar mudah bangun sahur.

“Ini tahun pertama anak saya belajar berpuasa. Sebagai permulaan, saya minta dia tidur dan bangun awal untuk sahur.

“Walaupun pada awalnya dia agak sukar bangun sahur, tetapi setelah dipujuk dia akur dan faham kenapa dia perlu bersahur dan berpuasa.

“Kakaknya juga sering memberi kata-kata semangat untuk dia teruskan berpuasa,” katanya menambah dia bangga apabila Muhammad Aidid mampu berpuasa walaupun hanya separuh hari.

Guru tadika, Devitri Sayuti, 41, juga enggan memaksa anaknya, Dhia Fariza Muhamad Fariz, 6, untuk berpuasa sehingga masuk waktu berbuka.

“Saya akan paksa dia bangun sahur supaya perutnya berisi menjelang Maghrib. Tapi kalau dia tak tahan, saya izinkan dia berbuka puasa awal. Setakat ini, dia berjaya puasa separuh hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 9:15 PM