Reuters

Beijing: Kementerian Luar China semalam menafikan negara itu menyekat kebebasan beragama selepas Turki menyuarakan kebimbangan terhadap laporan yang mendakwa ia menghalang etnik Uighur beribadah, termasuk berpuasa ketika Ramadan.

Kementerian Luar Turki sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati kepada duta China di Ankara mengenai laporan kerajaan tempatan di Xinjiang menghaklang penduduk Islam wilayah itu berpuasa atau beribadah.

Jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying berkata, republik itu mahu mengekalkan hubungan baiknya dengan Turki.

“Turki digesa memperjelaskan kenyataan berkenaan. Sepatutnya anda maklum penduduk Xinjiang bebas menganut agama mereka dan melakyukan ibadah seperti diperuntukkan perlembagaan China.

“Namun kami berharap Turki dapat berbincang dengan kami berhubung isu itu untuk memastikan hubungan baik antara kedua-dua tidak terjejas,” katanya, semalam.

Bulan lalu, laman web media kebangsaan dan kerajaan di Xinjiang menerbitkan notis rasmi dan artikel mengarahkan anggota parti, kakitangan awam, pelajar dan guru terutamanya supaya tidak berpuasa pada Ramadan ini. sama seperti yang dilakukannya tahun lalu.

Parti Komunis China mendakwa mempertahankan hak kebebasan beragama, namun kerap memantau ketat aktiviti keagamaan dengan alasan mahu mengekang keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 6:44 AM