SEBAHAGIAN penduduk  Turki membakar bendera China ketika menunjuk perasaan di depan Konsulat China di Istanbul kerana memprotes layanan terhadap etnik Uighur  di Xinjiang, kelmarin.
SEBAHAGIAN penduduk Turki membakar bendera China ketika menunjuk perasaan di depan Konsulat China di Istanbul kerana memprotes layanan terhadap etnik Uighur di Xinjiang, kelmarin.

Beijing: Kementerian Luar China semalam berkata negara itu ‘tidak menghadapi masalah perkauman’ dan etnik minoriti Uighur di barat negara itu bebas mengamalkan ajaran agama mereka.

Kementerian berkenaan berkata demikian dalam satu kenyataan selepas protes anti-China di Turki berhubung layanan terhadap kumpulan etnik berkenaan oleh Beijing.

Hubungan antara China dan Turki keruh berikutan dasar Beijing terhadap masyarakat Uighur di Xinjiang.

Etnik itu - yang kerap dilihat mempunyai persamaan dari segi budaya dan agama dengan penduduk Turki, dilapor dilarang melakukan ibadah, termasuk berpuasa sepanjang Ramadan.

Jurucakap Kementerian Luar NHua Chunying berkata: “Masyarakat Uighur hidup dan bekerja dengan aman selain menikmati kebebasan beragama sejajar dengan perlembagaan.

“Isu ‘masalah etnik Xinjiang’ yang didakwa dalam beberapa laporan sebelum ini tidak wujud langsung.”

Ratusan penunjuk perasaan berarak di hadapan Konsulat China di Istanbul, Ahad lalu, membawa bendera dan melaungkan slogan anti-China di luar bangunan itu.

Turki minggu lalu berazam membuka pintunya kepada orang Uighur yang melarikan diri daripada penindasan di China.

China juga kurang senang dengan tindakan Turki menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas orang Uighur pada Ramadan.

Ratusan orang terbunuh sejak tiga tahun lalu dalam beberapa serangan di Xinjiang. Beijing menyalahkan militan Islam yang berusaha mewujudkan negara merdeka dikenali sebagai Turkestan Timur. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:56 AM