BERSAMA peminatnya di Jakarta.
BERSAMA peminatnya di Jakarta.
BERSAMA buskers di Makssar.
BERSAMA buskers di Makssar.
KETIKA ditemubual di Madama FM, Makassar.
KETIKA ditemubual di Madama FM, Makassar.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pemergian Azura Lisa Aziz ke Jakarta dan Makassar, Indonesia, Mei lalu untuk mempromosikan single terbarunya Hey! Cinta memberi makna besar buat penyampai radio Johor FM itu apabila ia mendapat sambutan baik daripada peminat di sana.

Ini kerana lagu itu sudah diputarkan stesen radio di sana dua bulan sebelum dia berangkat. Setibanya di Jakarta dan Makassar, semuanya sudah diatur untuk Azura termasuk sesi temu bual dengan stesen radio di sana.

“Sebaik tiba di Jakarta, saya dibawa bertemu media antaranya Trans Radio. Turut bersama saya pada sesi temu bual itu, penyanyi terkenal negara itu Sultan Tanjung yang sedang popular dengan lagu Cincin Di Tangan.

“Selesai saja temu bual itu, saya dibawa ke Bogor untuk bersiaran pula di radio daerah itu, Win FM. Lagu Hey! Cinta sering dimainkan di saluran radio itu sebulan sebelum kedatangan saya ke sana.

“Esoknya saya berlepas pula ke Makassar. Di sana saya terbabit dengan persembahan, pertunjukan fesyen dan beberapa lagi persembahan termasuk temu bual dengan stesen TV dan radio iaitu Madama FM. Masyarakat di sana sangat menghargai apa saja bentuk hiburan yang dibawa masuk ke tempat mereka,” katanya.

Menurut Azura, lagu Hey! Cinta menduduki tangga kedua dalam carta lagu Madama FM. Jika sebelum ini mereka hanya mendengar lagu itu, kini mereka dapat berjumpa Azura membuatkan lagu itu lebih disukai ramai.

Katanya, dia turut dibawa ke Pantai Losari untuk bertemu peminat termasuk bertemu pelajar yang menuntut di Universiti Makassar.

“Saya amat terharu apabila diberitahu hampir setiap hari mereka mendengar lagu Hey! Cinta.

“Mereka amat menggemari melodi lagu itu yang berentak balada. Berbanding pendengar di Jakarta yang lebih ‘urban’, mereka begitu meminati satu lagi single saya berjudul Ku Tahu Kau Di Hatiku. Pertemuan dengan peminat di Pantai Losari meninggalkan kenangan yang amat indah. Mereka juga buat persembahan ‘busking’ bagi meraikan kedatangan saya ke Makassar,” katanya.

Pada Ogos ini, Azura merancang ke Jakarta, Makassar dan Bandung, selain cuba mendapatkan slot temu bual di stesen TV popular Indonesia, Trans TV.

“Bukan senang untuk mendapat undangan temu bual di stesen TV itu jika orang mereka tidak betul-betul kenal dengan artis itu. Lagu Hey! Cinta benar-benar memberi impak besar dalam hidup saya. Sebelum ini saya tidak terfikir langsung lagu saya akan memasuki pasaran Indonesia dan mereka sangat menghargainya.

Selain itu, Azura juga dalam perbincangan untuk berduet dengan Sultan Tanjung kerana ia mendatangkan manfaat besar buat kerjaya seni mereka berdua.

“Pihak Sultan gembira jika kerjasama itu terjalin kerana lagu itu dapat dipasarkan di Indonesia dan Malaysia serta hubungan kerja kami akan jadi lebih panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 10:14 AM