SANDRA tidak sangka single Hey! Kau terima sambutan luar biasa.
SANDRA tidak sangka single Hey! Kau terima sambutan luar biasa.
Oleh Georgie Joseph


Gagal meneruskan perjuangan dalam program realiti Mentor Legend bukan penamat buat Sandra atau nama sebenarnya, Alessandra Dianne sebaliknya ia permulaannya yang indah.

Berbekalkan vokal menarik, pendatang baru berusia 21 tahun ini berpeluang merakamkan single berjudul Hey! Kau yang kian mendapat perhatian.

Usaha Sandra berbaloi apatah lagi diterima menjadi artis naungan label Indigital Sdn Bhd. Namun gadis ini sedar masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya mahu mengembangkan nama dalam persada seni tanah air.

“Biarpun tidak terpilih menjadi protege Dayang Nurfaizah, banyak saya pelajari dalam tempoh singkat. Azmer menyarankan saya memperbaiki nyanyian dan saya sahut cabaran itu dengan menyertai kelas vokal.

“Selepas enam bulan belajar, saya merakamkan single Hey! Kau,” katanya.

Mengakui tidak menyangka single itu mendapat sambutan luar biasa bahkan menduduki carta teratas radio tempatan termasuk Hot FM, Sandra tidak henti melafazkan rasa syukur.

Ketika mula mendengar lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu, dia tidak yakin Hey! Kau kena dengan jiwanya. Namun ketika proses rakaman, dia mula sedar mengapa lagu itu diberikan kepadanya.

“Ketika rakaman saya jatuh cinta dengan melodinya dan yakin ia dapat diterima pendengar.

“Saya berpuas hati dengan hasilnya dan bersyukur apabila ramai suka. Tak sangka, dalam tempoh singkat lagu ini menjadi siulan ramai dan menduduk tempat pertama carta radio.

“Saya berterima kasih kepada Indigital, Tam Spider dan Iman Imran,” katanya.

Mahu baiki penampilan

Siapa sangka Sandra mula menyanyi dan menulis lagu sejak berusia 14 tahun. Cuma, selama ini dia hanya belajar sendiri dan tidak pernah menghadiri kelas formal.

“Sebelum ini, saya hanya suka-suka dan kerana itu gugup dan kurang yakin setiap kali menyertai pertandingan atau berada atas pentas.

“Apabila sudah jadi artis rakaman, sesuatu perlu dilakukan. Setiap nasihat pengurusan, orang tersayang, keluarga dan rakan saya ambil berat.

“Antaranya kena jaga penampilan kerana saya sudah jadi perhatian masyarakat,” katanya.

Akui Sandra selama ini dia selesa bergaya ringkas dan jarang bersolek. Justeru banyak perubahan yang perlu dilakukan.

“Bukan mudah mahu ubah penampilan kerana daripada dulu saya jenis yang sempoi tetapi saya kena dengar nasihat pengurusan jika mahu berjaya dalam bidang ini.

“Saya akan perbaiki penampilan terutama ketika menjayakan sesi fotografi bersama media, berada di atas pentas dan menghadiri acara tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 11:19 AM