AZURA (tengah) bersama peminat.
AZURA (tengah) bersama peminat.
Nor Akmar Samudin


Demi menghargai peminat di Brunei yang setia menyokongnya sejak setahun lalu, penyampai radio Johor FM yang juga penyanyi, Azura Lisa Aziz atau dikenali sebagai Azura Pendora sanggup terbang ke negara itu untuk bertemu mereka.

Biarpun rutin kerjanya padat, Azura melapangkan masa ke Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Menurut Azura, dia mula dikenali di negara itu apabila lagu raya yang dirakam bersama Moe Vibes, Dewita Wiewek, Farazila, Tyka, Afee Utopia dan DJ Odey berjudul Tingkah Aidilfitri diputarkan di radio Pelangi FM pada Syawal itu.

“Menerusi populariti lagu itulah saya dikenali di Brunei sehingga ada peminat menjemput saya ke sana. Jimmy dan tiga lagi rakannya yang masih muda dan mengusahakan perniagaan katering. Mereka mengaturkan pertemuan saya dengan peminat di sana.

“Saya berada di sana selama dua hari. Sesi pertemuan dengan peminat diadakan di kediaman Jimmy. Ramai yang hadir dan mereka sangat mengalu-alukan kedatangan saya.

“Terharu dengan layanan mesra mereka, saya berazam untuk menjayakan persembahan lagi di sana,’ katanya yang baru kali pertama menjejakkan kaki di negara itu.

Selain itu, Azura juga dibawa bersiar-siar di sekitar Bandar Seri Begawan, Gadong dan Istana Sultan Brunei.

Azura juga diperkenalkan dengan makanan tradisional negara itu iaitu nasi katok. Keenakan nasi itu membuatkan Azura terfikir untuk membuka restoran yang menyajikan menu istimeewa itu di negara ini.

“Saya amat menyukai nasi katok. Hidangannya ringkas tetapi menyelerakan.

“Terfikir juga mahu buka kedai makan yang menjual hidangan ini tetapi bukanlah dalam masa terdekat kerana saya perlu mencari lokasi sesuai. Mungkin di Kuala Lumpur atau Bangi.

“Tidak selama-lamanya saya akan menetap di Johor kerana sampai masanya saya akan kembali ke Kuala Lumpur.

“Sebelum berpindah ke Johor, saya buka taska di Bangi yang diuruskan ibu saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 9:59 AM