MASJID 99 Kubah. FOTO Instagram @masjidkubah99asmaulhusna
MASJID 99 Kubah. FOTO Instagram @masjidkubah99asmaulhusna
Agensi

Jakarta: Masjid 99 Kubah yang terletak di Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia, mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri bagi menarik umat Islam mengimarahkan rumah ibadat itu.

Masjid 99 Kubah, menjadi ikon Kota Makassar dan salah satu destinasi tarikan pelancong.

Selain sebagai tempat ibadat, masjid itu juga dikunjungi orang ramai kerana keunikan dan keindahan bangunannya.

Ada antara mereka tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan apatah lagi ketika senja, suasana sekitarnya sangat indah.

Menelusuri sejarah pembinaannya, reka bentuk masjid itu sebenarnya direka Ridwan Kamil yang ketika ini memegang jawatan Gabenor Jawa Barat.

Masjid yang terletak di kawasan Pantai Losari atau lebih dikenali Centre Point of Indonesia, dikelilingi 99 kubah yang melambangkan 99 nama Allah SWT atau Asmaul Husna.

Penggunaan 99 kubah itu supaya umat Islam selalu beringat tentang keagungan nama-nama Allah SWT.

Kubah 99 itu dihiasi dengan warna seperti merah, jingga dan kuning.

Masjid 99 Kubah berkeluasan 3,240 meter persegi itu mempunyai tiga kawasan utama iaitu ruang solat yang boleh menampung 3,880 jemaah.

Ia juga mempunyai ruang mezanin yang boleh memuatkan 1,005 jemaah dan halaman bagi menampung 8,190 jemaah.

Sepanjang Ramadan, masjid itu aktif sebagai pusat aktiviti keagamaan masyarakat dan bakal digunakan untuk majlis keagamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 9:10 AM