Smriti
Smriti

New Delhi: Sebuah mahkamah di sini semalam bersetuju mendengar aduan mengenai menteri pendidikan India yang dituduh menipu mengenai ijazahnya.

Berita mengenai penipuan itu sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendesak dia meletak jawatan.

Mengikut petisyen difailkan, Smriti Irani didakwa membuat perisytiharan bercanggah mengenai ijazah diperolehnya kepada pihak berkuasa pilihan raya.

Menurut aduan itu, Smriti berkata pada 2004, dia mempunyai ijazah jurusan kesenian.

Namun, menjelang pilihan raya umum pada 2014, dia mendakwa memiliki ijazah jurusan perdagangan.

Hakim Akash Jain berkata: “Mahkamah maklum mengenai perkara itu dan menetapkan kes pada 28 Ogos depan.”

Dakwaan terhadap Smriti disuarakan beberapa minggu selepas Menteri Undang-Undang Delhi dari Parti Aam Aadmi (AAP), Jitendra Singh Tomar, ditahan kerana disyaki memiliki ijazah undang-undang palsu.

Jitendra meletak jawatan selepas menghadapi tuduhan jenayah, menipu dan terbabit dalam kegiatan pemalsuan.

Kes terbaru membabitkan Smriti menyebabkan ketua pembangkang dari AAP dan Parti Kongres mendesak wanita itu meletak jawatan kerana mendakwa dia ‘tiada hak secara moral, perlembagaan atau perundangan’ untuk memegang jawatan menteri.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menolak desakan itu.

Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh berkata: “Menteri kami tidak perlu meletak jawatan. Ini bukan kerajaan mereka (Kongres).”

Kerajaan Modi berdepan tekanan pembangkang sejak kebelakangan ini berikutan pendedahan salah laku beberapa menteri kanan, termasuk Menteri Luar yang dituduh membantu bekas bos kriket Lalit Modi yang terpalit dengan skandal rasuah untuk mendapatkan dokumen perjalanan kecemasan di Britain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 10:35 AM