Agensi

Nunukan (Indonesia): Jakarta akan menghantar nota diplomatik untuk membantah apa yang didakwanya pencerobohan terhadap ruang angkasa dan perairannya oleh tentera Malaysia di wilayah Nunukan, Kalimantan Utara.

“Kami akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Malaysia berhubung pelanggaran wilayah sempadan Indonesia di Nunukan,” kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keamanan Indonesia, Tedjo Edhy Purdijatno di sini kelmarin.

Katanya, pada tahun ini saja tentera laut dan udara Malaysia didapati memasuki wilayah Indonesia di Nunukan beberapa kali tanpa kebenaran.

“Isu ini sudah disampaikan kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi supaya beliau mengemukakan bantahan kepada kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Tedjo berkata, langkah awal yang dilakukan tentera Indonesia adalah dengan memperketatkan pemantauan dan rondaan di wilayah itu termasuk menempatkan pesawat di pangkalan tentera di Kalimantan Utara.

Menurut tentera Indonesia, kapal perang Malaysia dikesan menceroboh perairan Ambalat di Nunukan sebanyak sembilan kali, tetapi berjaya dipintas dan diusir.

“Tindakan provokasi dari negara jiran itu menyebabkan kami menguatkan pertahanan laut, udara dan darat di wilayah ini.

“Kami menambah bilangan aset udara dan laut demi menjaga kedaulatan serta keamanan wilayah perbatasan ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:41 PM