SUKARELAWAN menyiapkan jenazah mereka yang mati akibat cuaca panas ke bilik sejuk beku rumah mayat Edhi di Karachi.
SUKARELAWAN menyiapkan jenazah mereka yang mati akibat cuaca panas ke bilik sejuk beku rumah mayat Edhi di Karachi.

Karachi: Hampir 200 orang mati akibat suhu panas yang melanda selatan Pakistan.

Keadaan itu mendorong kerajaan meminta bantuan tentera untuk membantu mangsa strok haba di Karachi, bandar paling teruk terjejas.

Sekurang-kurangnya 180 orang mati di bandar terbesar Pakistan itu selepas suhu mencecah 45 darjah Celsius.

Sebelas lagi kematian dilapor di bahagian selatan wilayah Punjab.

Kejadian berlaku sebulan selepas negara jiran Pakistan, India dilanda cuaca panas paling teruk dalam sejarah negara itu, hingga menyebabkan lebih 2,000 penduduk mati.

Pegawai kanan kesihatan kerajaan wilayah Sindh Doktor Sabit Memon berkata, angka kematian mungkin meningkat.

Angka yang dikumpul wartawan AFP dari lima hospital di sekitar Karachi menunjukkan jumlah kematian mungkin mencecah 249.

Jurucakap Pengurusan Bencana Kebangsaan Ahmed Kamal berkata, kerajaan meminta tentera membantu usaha meringankan penderitaan penduduk, termasuk mendirikan pusat rawatan di sekitar bandar raya itu.

Keadaan bertambah buruk apabila suhu panas itu turut memutuskan bekalan elektrik.

Kerajaan wilayah Sindh menguatkuasakan perintah darurat di semua hospital, termasuk membatalkan cuti doktor dan kakitangan perubatan lain serta menambah stok ubat-ubatan.

Cuaca lebih panas dan kering diramal melanda bandar raya itu sekurang-kurangnya satu atau dua hari lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:51 AM