TANGKAP layar dari video menunjukkan lelaki menyejukkan diri susulan suhu panas ekstrem di Jacobabad, Pakistan. FOTO YouTube/ Telegraph
TANGKAP layar dari video menunjukkan lelaki menyejukkan diri susulan suhu panas ekstrem di Jacobabad, Pakistan. FOTO YouTube/ Telegraph
Agensi

Karachi: Bandar Jacobabad di Pakistan menjadi kawasan paling panas di dunia dengan suhu sehingga 52 darjah Celcius.

Ia lebih tinggi daripada gelombang panas di Pakistan dan India pada 2015 yang mengorbankan 4,000 orang, lapor The Sun.

Pakar berkata, Jacobabad yang terletak di wilayah Sindh, adalah lokasi paling panas dan keadaan itu di luar kemampuan tubuh manusia.

Suhunya yang boleh mencapai tahap berbahaya kepada manusia iaitu 52 darjah Celcius.

Beberapa orang penduduk disifatkan bertuah kerana memiliki penyaman udara yang mampu meredakan kepanasan.

Namun, pada masa sama, penduduk berdepan gangguan bekalan elektrik.

"Ketika cuaca sangat panas, anda tidak sanggup untuk berdiri," kata penduduk tempatan.

"Ini adalah waktu kritikal ketika suhu melebihi 50 darjah Celcius. Penduduk tidak keluar dari rumah dan persekitaran menjadi lengang," kata seorang peniaga, Abdul Baqi.

Dalam pada itu, The Telegraph melaporkan Ras al Khaimah di timur laut Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah lokasi kedua panas di bumi.

Seorang pakar cuaca di Universiti Loughborough berkata, Lembah Indus hampir menjadi kawasan panas nombor satu di dunia.

Dia menggambarkan kawasan itu sebagai pusat titik panas yang ekstrem.

Bersama rakannya, mereka meneliti dan menyelidik data stesen cuaca global.

Penemuan mereka menunjukkan Jacobabad dan Ras al Khaimah itu berada pada tahap boleh mengorbankan nyawa manusia.

Katanya, pada suhu 35 darjah Celcius, tubuh manusia perlu disejukkan dengan mengeluarkan peluh, tetapi suhu 52 darjah Celcius boleh membawa maut.

Namun media melaporkan, suhu panas tidak menjadi masalah di UAE kerana mereka mempunyai kemampuan dari segi penyaman udara dan bekalan elektrik.

Dalam pada itu, 233 orang dilaporkan maut akibat cuaca panas melampau melanda wilayah British Columbia, barat Kanada sejak Jumaat lalu, lapor Xinhua.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah, negara itu dilanda gelombang haba berpanjangan.

Keadaan itu menyebabkan banyak kedai di British Columbia kehabisan stok penyaman udara dan kipas angin.

Pada Isnin, bilik hotel di Vancouver juga penuh ditempah apabila penduduk tempatan mahu lari daripada cuaca panas.

Polis di Metro Vancouver pada Selasa menyatakan pihaknya menerima kira-kira 100 panggilan kecemasan membabitkan kes kematian mengejut.

Suhu kali ini adalah tertinggi berbanding 59 kejadian gelombang haba yang melanda Kanada sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 6:32 AM