SUASANA meriah di majlis berbuka puasa Sony Music Malaysia di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
SUASANA meriah di majlis berbuka puasa Sony Music Malaysia di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Oleh Georgie Joseph


Baru awal Ramadan, kemeriahan sudah dapat dirasai menerusi sambutan Majlis Berbuka Puasa Sony Music Malaysia yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Diadakan serentak dengan rakaman program popular Muzik Muzik Raya 2015, acara itu turut dimeriahkan ramai artis besar yang tidak ketinggalan menghiburkan hadirin.

Apa yang pasti, dalam pada bergembira dan bertujuan mengeratkan silaturahim antara artis dan jemputan, golongan tidak bernasib baik turut diraikan. Bersama-sama jemputan yang lain, anak-anak daripada Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih (PKBK) turut dijemput menyaksikan acara istimewa itu.

Dihoskan pelakon dan penyanyi Amy Mastura, mengiringinya adalah penyanyi yang semakin dikenali ramai iaitu Sezairi. Dimulakan dengan majlis berbuka puasa, acara diteruskan dengan persembahan nyanyian artis.

Terdahulu, sementara menanti waktu berbuka puasa, hadirin sempat dihiburkan pasukan ghazal sebelum laungan azan disempurnakan penyanyi Hafiz Hamidun.

Acara dimulakan dengan persembahan akustik oleh kumpulan Bunkface yang mempersembahkan lagu raya Anugerah Syawal. Ringkas dan bersahaja, Bunkface sememangnya sentiasa mantap di pentas.

Menyusul selepas itu penyanyi wanita yang sentiasa lincah di pentas iaitu Lzzay. Tampil dengan lagu raya terbarunya berjudul Joget Selfie Raya, ternyata ‘mood’ raya semakin dirasai semua yang hadir.

Menghangatkan lagi suasana, Datuk AC Mizal pula menakluk pentas berseorangan dengan mendendangkan lagu raya popular 4U2C iaitu Gema Takbir Di Pagi Raya. Tanpa kehadiran anggota lain pun, penyanyi itu masih mampu membuatkan suasana riuh dengan nyanyiannya.

Penyanyi rock muda, Aweera pula tampil ringkas menyanyikan lagu Raya Yang Sempurna nyanyian asal Awie. Meskipun hanya duduk diiringi petikan gitar, Aweera masih mampu memukau penonton dengan vokalnya.

Biarpun mulanya dihoskan Amy dan Sezairi, pada pengakhiran acara, pengacara popular AG HotFM dan Fara Fauzana tidak ketinggalan tampil mengambil alih pentas pula.

Sementara Amy pula menutup tirai persembahan dengan lagu popularnya Setahun Sekali. Ternyata Amy yang sudah lama senyap daripada aktiviti nyanyian masih lincah dan selesa di pentas.

Selain persembahan itu, turut memeriahkan pentas termasuk Alif Satar yang mendendangkan lagu Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M Nasir), Noh Salleh (Sinar), Ila Damia (Suasana Hari Raya), Altimet (Aku Tahu) dan Naj–wa Mahiaddin (Nuradee).

Bukan saja tampil membuat persembahan, nampaknya artis seperti Alyah, Shah Iskandar, Joe Flizzow dan Mizz Nina turut turun padang memeriahkan lagi suasana. Masing-masing tidak ketinggalan beramah mesra dengan hadirin serta berhibur sama dengan persembahan penyanyi jemputan.

Teruja dapat turut serta dalam acara itu, pelakon Shah Iskandar berkata, dia tidak menyangka majlis itu sa–ngat meriah.

“Rasa macam sudah raya apabila melihat kemeriahan hari ini. Tidak sangka sambutannya begini besar dan seronok rasanya dapat berjumpa dengan rakan artis lain,” katanya.

Selain itu, penonton juga sempat dihiburkan persembahan anak-anak daripada PKBK sebelum acara penyampaian duit raya dan cenderahati disempurnakan penaja dan artis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 11:19 AM