PERSEMBAHAN The Weeknd  pada acara Super Bowl LV Halftime. FOTO AFP
PERSEMBAHAN The Weeknd pada acara Super Bowl LV Halftime. FOTO AFP
Agensi

 

Florida: Penyanyi The Weeknd, 31, tampil dengan persembahan luar biasa pada acara Super Bowl LV Halftime yang berlangsung di Raymond James Stadium di Tampa, di sini, hari ini.

The Weeknd atau nama sebenarnya Abel Makkonen Tesfaye mendendangkan lagu hitnya daripada The Hills hingga Blinding Lights dalam persalinan Givenchy. Dia turut memakai jaket yang dipakainya sepanjang era albumnya After Hours.

Dia memulakan persembahan dengan lagu Call Out My Name diiringi pasukan koir. Set pementasannya cukup gah dengan reka bentuk penuh inovatif.

Berbeza dengan persembahan tahun sebelumnya, The Weeknd menggunakan sepenuhnya pentas utama. Dia tidak berganjak ke tengah stadium namun tetap cemerlang menghangatkan suasana.

Persembahannya diakhiri dengan lagu Blinding Lights yang mana turut diiringi sekumpulan penari. Paling epik apabila percikan bunga api menghujani aksi penutupnya itu.

Terdahulu, Super Bowl Halftime pernah menampilkan penghibur tersohor termasuk Jennifer Lopez and Shakira (2020), Maroon 5, Big Boi, dan Travis Scott (2019), Justin Timberlake (2018), Lady Gaga (2017), dan Coldplay, Beyoncé, serta Bruno Mars (2016).

The Weeknd juga tampil solo tanpa artis jemputan sebagaimana dilakukan penghibur sebelum ini. Menurutnya, dia tidak melihat relevannya menampilkan sesiapa untuk berkongsi pentas dengannya.

"Tiada ada ruang sesuai dalam penceritaan dan kisah yang saya ingin sampaikan menerusi persembahan itu. Maka, tiada mana-mana artis jemputan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 12:26 PM