BARISAN artis bersama wakil penaja Perfecto serta penyampai Best FM yang terbabit.
BARISAN artis bersama wakil penaja Perfecto serta penyampai Best FM yang terbabit.
Oleh Georgie Joseph


Laman sosial popular seperti Instagram, Twitter dan Facebook kini menjadi medium buat artis berkongsi perkembangan kerjaya.

Tidak dinafikan ia mampu memberi banyak kesan positif dalam kerjaya mereka, namun ia agak terhad dari segi hubungan silaturahim.

Atas sebab itu, syarikat rakaman Sony Music Malaysia menjalankan usaha mengembalikan semula silaturahim antara penyanyi naungannya dengan peminat menerusi siri jelajah Sony Music bersama Best FM dan Perfecto.

Hakikatnya, peminat pastinya bukan sekadar mahu membaca atau menatap wajah artis pujaan mereka di media arus perdana atau Internet, tetapi pasti menyimpan impian mahu bersalaman dengan mereka.

Demikian juga artis itu sendiri yang pastinya mahu bertemu peminat dan mendekati mereka.

Hampir semua artis di bawah Sony Music terbabit dalam program itu seperti Aliff Aziz, Aweera, Alyah, Altimet, Amy Mastura, Alif Satar, Noh Salleh, Noraniza Idris, Ifa Raziah, Sezairi, Nukilan, L’zzay, Ila Damia, Nur Fatima, Persis, Kool, A To Z dan Ary Klangit.

Siri pertama jelajah berkenaan sudah diadakan hujung minggu lalu di Angsana Mall dan Summit Parade, Batu Pahat, Johor.

Ia akan diteruskan ke Kluang Mall dan 1Segamat Mall, Johor pada Sabtu dan Ahad ini, Dataran Pahlawan dan Mahkota Parade, Melaka (5 September) dan SACC Mall, Shah Alam pada 12 September depan.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti diadakan bagi menghiburkan peminat selain persembahan nyanyian artis terbabit.

Antaranya permainan, senaman, sesi ramah-mesra dan lain-lain.

Sementara itu, turut menghangatkan suasana di gerai Perfecto serta pentas adalah penyampai Best FM termasuk Haiza Dag Dig Dug, Zairi, Azhar, Ieqa, Fiezah, dan Helmi.

Menurut Noh yang juga vokalis Hujan, dia teruja dapat menyertai siri jelajah itu.

“Saya suka apabila dapat turun padang apabila itulah kesempatannya dapat bertanya mereka sendiri apa agaknya dimahukan pada seseorang artis itu.

“Bagaimanapun, saya terpaksa menolak satu lokasi dan hanya turut serta pada tiga lokasi seterusnya. Untuk persembahan kelak, saya serahkan kepada peminat nanti lagu apa yang mereka mahu saya nyanyikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:14 AM