SEZAIRI hasilkan It’s You luhur dari hati.
SEZAIRI hasilkan It’s You luhur dari hati.
Georgie Joseph


TUAH lagu bingkisan ikhlas dari hati berjudul It's You, nama penyanyi Sezairi menjadi sebutan apabila tular di aplikasi TikTok serta platform Spotify baru-baru ini.

Biarpun itu bukan lagu terbaharu, Sezairi atau nama sebenarnya Sezairi Sezali, 34, mengakui sambutan luar biasa terhadap lagu itu semestinya begitu mengujakan. Apatah lagi, ia berjaya memperkenal karier muziknya kepada peminat baharu.

Ikutkan, lagu It's You dilancarkan pada 2018 selepas penyanyi kelahiran Singapura ini mendirikan rumah tangga. Cukup romantis dan liriknya indah, ternyata lagu itu berjaya menyentuh hati ramai pendengar.

Sekali gus, ia menjadi sohor kini (trending) di TikTok apabila lagu berkenaan digunakan secara meluas oleh pengguna aplikasi itu. Bahkan, lt's You terus tersenarai sebagai Top 50 lagu paling tular di Spotify selepas itu.

Dalam temu bual bersama RAPXTRA baru-baru ini, Sezairi menyifatkan pencapaian itu antara yang paling istimewa sepanjang kariernya. Mula menceburi bidang muzik sejak 2009, dia bukanlah nama asing dalam arena muzik Nusantara.

Bagaimanapun, lagu itu membawa transisi tersendiri dalam profil seninya kerana dia sendiri sentiasa mahukan evolusi dalam muziknya. Baginya, lagu dicipta dari hati dan pengalaman peribadi itu cukup besar maknanya.

"Saya akui kejayaan lagu itu semestinya membawa makna tersendiri buat saya secara peribadi. Justeru, ya memang saya boleh sifatkan It's You antara lagu 'magis' pernah dihasilkan setakat ini.

"Menariknya, lagu itu dihasilkan bersempena dengan perkahwinan saya tidak lama dulu. Memang temanya berkisar cinta, namun cerita sebelum ia dijadikan sebuah lagu sangat panjang sebenarnya.

"Bingkisan itu pada awalnya adalah ucapan yang perlu dibaca sewaktu majlis perkahwinan saya. Malangnya, ia tersorok sewaktu hari sebenar dan agak terkilan juga akhirnya tidak dapat dibaca seperti dirancang," katanya.

Demi mengubat rasa ralat itu, Sezairi bersetuju menjadikannya lagu selepas isterinya mencadangkan untuk berbuat demikian. Oleh itu, dia sangat gembira apabila keikhlasan bait liriknya ternyata senjata utama menyentuh hati pendengar.

"Menjadi tular itu satu hal, tapi lebih membuatkan saya terharu adalah apabila lagu berkenaan meninggalkan impak besar dalam kalangan peminat. Ramai yang mesej saya menunjukkan perkahwinan mereka diserikan dengan lagu itu.

"Jadi, kegembiraan mengenai sejauh mana It's You memberi makna dalam kerjaya muzik saya berganda lagi. Sambutan luar biasa itu benar-benar menaikkan lagi semangat saya untuk tampil dengan karya lebih baik," katanya.

TERHARU dengan kejayaan lagu It’s You hingga tinggalkan impak besar kepada peminat.
TERHARU dengan kejayaan lagu It’s You hingga tinggalkan impak besar kepada peminat.

Tolak konsep pengasingan muzik

Bagi yang sudah lama mengikuti karier muzik Sezairi, pasti tahu dia pernah mencipta nama di Malaysia juga menjadi ikutan peminat di Indonesia.

Sambutan terhadap lagu It's You itu juga berjaya mencuri perhatian sekali lagi apabila ia berjaya lolos dalam Top 10 Spotify serta Top 100 Apple Music di Indonesia. Di Malaysia pula, ia berjaya menjadi 50 lagu paling tular.

Sezairi mengakui sangat bersyukur kerana muziknya terus megah dalam muzik Nusantara. Baginya, ia bukti bahawa peminat yang baik tidak mengenal penyanyi kerana negara asalnya atau di mana dia berpangkalan.

Menurutnya, dalam lapangan muzik sebenarnya tidak perlu wujud elemen pengasingan sekalipun. Maknanya, kejayaan seseorang penyanyi itu tidak perlu diukur dengan penerimaan dari negara peminatnya datang.

"Sewaktu memulakan karier muzik, saya sentiasa yakin muzik adalah platform yang sangat besar impaknya kepada dunia. Saya mahukan muzik saya merentasi mana-mana juga pelosok dunia tanpa mengenal apa juga perbezaan.

"Justeru, saya percaya tidak perlu wujudnya pengasingan muzik ataupun 'segregation'. Saya berpegang kepada konsep, jika muzik itu bagus, memang baguslah dan siapa pun berhak menyukai dan menikmatinya," katanya.

Disebabkan itu, Sezairi juga enggan menyifatkan kerjasama terbaharunya dengan penyanyi Korea Selatan iaitu msftz sebagai satu peluang berbeza. Baginya, kerjasama itu sama seperti dengan setiap peluang lain yang ada kerana terasnya tetap muzik.

Namun, dia mengakui memang teruja apabila dapat menghasilkan lagu Blue dengan msftz. Baginya, kerjasama itu antara yang paling menggembirakannya kerana penyanyi gandingannya itu cukup menyenangkan.

"Saya perlu akui apabila mengkaji mengenai msftz, dia adalah seorang penyanyi yang sangat bagus. Saya tidak mengharapkan apa-apa pun sewaktu menghantar lagu Blue kepadanya untuk memasukkan bahagiannya.

"Namun, ternyata msftz bukan artis calang-calang kerana dia benar-benar tunjukkan kesungguhan tinggi dalam kerjasama itu. Bukan saja bertindak pantas, bahkan dia turut memberikan idea yang mengagumkan sebagai penambahbaikan," katanya.

Gian nak naik pentas

Sebagaimana kebanyakan penyanyi seluruh dunia yang terkesan pandemik Covid-19, keseluruhan hidup Sezairi banyak dihabiskan dalam studio di rumahnya. Oleh itu, banyak cabaran yang sebenarnya menekan dirinya.

Dia akui aliran kreativiti kadangkala tersasar apabila terlalu berkurung di rumah. Dia sendiri jelas lebih 'hidup' apabila berada di pentas dan paling seronok jika dapat menghiburkan peminat secara bersemuka.

Bagaimanapun, Sezairi perlu akur situasi sekarang bukan situasi terbaik untuk industri hiburan. Menurutnya, jika kelonggaran sudah diberi untuk persembahan pentas kelak, dia harap dapat kembali beraksi di pentas secepat mungkin.

"Malangnya, persembahan secara bersemuka masih tidak dapat dilangsungkan sekarang ini. Sekali gus, rasa gian untuk naik pentas itu semakin menjadi-jadi dalam diri kerana saya sememangnya cukup gembira menghiburkan penonton.

"Berilah apa saja jenis pentas pun, tidak kisahlah secara maya sekalipun, saya akan berbesar hati menghiburkan semua. Saya harap tertunailah hajat ini apabila segalanya sudah selamat nanti termasuk sempadan negara dibuka kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:30 AM