RUTIN mengemas yang terancang membuatkan suasana di ruang tamu lebih segar.
RUTIN mengemas yang terancang membuatkan suasana di ruang tamu lebih segar.
KEKEMASAN dan kebersihan di ruang makan antara terpenting.
KEKEMASAN dan kebersihan di ruang makan antara terpenting.
SUASANA yang bersih menyerlahkan serinya sepanjang masa.
SUASANA yang bersih menyerlahkan serinya sepanjang masa.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Mengemas rumah ketika Ramadan mungkin memberi sedikit cabaran ditambah kesibukan menyiapkan juadah berbuka dan kuih-muih Aidilfitri.

Dalam apa jua keadaan, dekorasi ruang perlu tampil menarik sepanjang masa dan ia memerlukan perancangan teliti.

Bagi pereka hiasan dalaman Amran Azahar, aktiviti mengemas antara rutin penting sepanjang masa.

“Kebanyakan kita yang bekerja terpaksa menghimpunkan tugas di rumah untuk dilakukan pada hujung minggu.

“Situasi ini menyebabkan setiap hujung minggu bukanlah masa untuk kita berehat sebaliknya dihabiskan dengan mengemas atau ‘berperang’ dengan kerja rumah,” katanya.

Bagi yang bekerja, pasti situasi ini lebih memenatkan kerana anda sepatutnya memperuntukkan masa hujung minggu untuk bersantai bersama keluarga.

“Ini juga tidak bermakna anda tidak boleh mengemas rumah pada hujung minggu, cuma seelok-eloknya tidak melakukan semua aktiviti berkenaan sekali gus ketika waktu itu.

“Sebenarnya terdapat pelbagai cara mengurangkan bebanan anda ketika hujung minggu.

“Langkah paling berkesan ialah dengan membuat jadual mengemas yang perlu diikuti sepenuhnya,” kata Pengarah Urusan Lentera Creative Home itu.

Apabila sudah ada jadual, kerja mengemas boleh dilakukan secara terancang mengikut tahap upaya anda.

Mungkin anda juga sedia maklum untuk menetapkan jadual mengemas harian, mingguan atau bulanan.

Bagi jadual harian terutama suri rumah sepenuh masa, membersihkan ruang tamu antara terpenting kerana ia menjadi yang menjadi tumpuan keluarga dan tetamu.

Bahagian dapur juga perlu dikemas rapi biarpun anda menghabiskan masa di ruang itu ketika menyiapkan juadah berbuka.

Menyiapkan juadah dalam suasana bersih dan kemas lebih bermakna dan memberikan perlambangan anda seorang yang mementingkan ketelitian serta kebersihan.

“Dalam kesibukan itu, jika anda masih mempunyai masa jangan biarkan kain berlonggok tanpa dilipat. Situasi itu boleh menyebabkan ruang kelihatan semak dan menyakitkan pandangan mata.

“Paling penting, rutin mencuci pakaian perlu disenaraikan dalam kerja seharian anda. Ia rutin remeh tapi perlu dilakukan tambahan pula kini dibantu mesin membasuh pakaian automatik,” katanya.

Bagi anda yang bekerja dan tidak mempunyai masa khusus, sediakan senarai tugasan yang perlu dilaksanakan secara mingguan. Berikut antara senarai tugasan mingguan yang wajar dilakukan ketika hujung minggu.

Bersihkan sinki dapur seelok-eloknya dilakukan selepas kerja memasak selesai. Lap peti sejuk kerana ia perlu bersihkan supaya tiada makanan atau minuman yang tertumpah terbiar lama.

Lakukan rutin secara mingguan dengan membersihkan bilik air sekiranya anda tidak mencuci ketika mandi.

Cuci tuala dan cadar antara yang perlu anda lakukan ketika hujung minggu kerana pada hari-hari biasa sibuk dengan kerja.

Kumpulkan semua cadar, sarung bantal dan selimut serta basuhlah sekali gus.

Tidak ketinggalan vakum atau mop lantai terutama di bahagian ruang memasak dan ruang tamu kerana dua lokasi ini menjadi tumpuan ahli keluarga serta tetamu.

“Selain itu, jangan abaikan rutin mingguan menyapu halaman rumah. Masa yang terluang itu membolehkan anda mengemas dengan rapi, mengalihkan pasu-pasu atau membersihkan segala perhiasan di laman anda.

“Rutin hujung minggu ini memberi peluang ahli keluarga lain membabitkan diri dan meringan beban anda,” katanya.

Lentera Creative Home terletak di No 15, Jalan DD 3A/1, Taman Dato Demang, Basco Business Centre, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Layari Facebook LenteraCreative Home atau laman web www.lenteraworld.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 12:43 PM