IFA tangguh pembedahan untuk terima tawaran menyanyi sepanjang Ramadan.
IFA tangguh pembedahan untuk terima tawaran menyanyi sepanjang Ramadan.
Oleh Michelle Gun

Walaupun kesihatannya semakin pulih, penyanyi Ifa Raziah masih perlu menjalani pembedahan kedua untuk membuang baki ketulan di payudaranya.

Bagaimanapun, disebabkan masih merasai kesakitan dan trauma pembedahan pertama yang dijalani pada Julai tahun lalu, penyanyi itu memilih untuk menangguhkan prosedur itu.

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha berkata, ketika membuat rawatan susulan baru-baru ini, doktor menasihatinya melakukan pembedahan.

“Sebenarnya, saya merancang menjalani pembedahan pada Ramadan ini, namun ditawarkan menyanyi pula di Restoran Kelantan Delights.

“Saya tidak mahu menolak rezeki, tambahan pula masih trauma dengan pengalaman lalu. Jadi saya minta doktor menangguhkan pembedahan,” katanya.

Penyanyi berusia 39 tahun itu memaklumkan dia perlu menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam.

“Kini, saya perlu mengutamakan kesihatan dan tidak boleh rasa tertekan. Saya juga kena berdiet dan ambil makanan tambahan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran bufet Ramadan 2015 di Restoran Kelantan Delights Subang Jaya, baru-baru ini.

Sepanjang Ramadan, Ifa akan berganding dengan Fazli Zainal menghiburkan pengunjung restoran berkenaan selama 25 hari.

Lebih istimewa, pe­nyanyi itu juga menyediakan sendiri masakan gulai kawah mengikut resipi keluarganya di restoran berkenaan.

“Sebelum berbuka puasa, saya turun awal ke restoran untuk memasak hidangan itu. Semua bahan disediakan dan saya cuma memasak,” katanya.

Persembahan pula, Ifa menyanyikan lagu popular, keagamaan dan duet bersama Fazli.

“Ini kali pertama saya bekerja sepanjang Ramadan kerana sebelum ini saya sibuk dengan perniagaan hamper dan kuih. Namun, tahun lalu saya tidak berniaga dan hanya berehat kerana sakit,” katanya.

Menceritakan perkembangan kerjaya pula, Ifa kini sibuk dengan rakaman program Jom Singgah selain bakal muncul de­ngan single baru berjudul Sakitnya Anak Ikan dalam masa terdekat.

“Saya baru selesai rakaman untuk beberapa program televisyen sempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Mengenai single baru pula, ia ciptaan Awi Rafael dan belum dirakam kerana saya sibuk,” katanya.

Menurutnya, rentak lagu Sakitnya Anak Ikan rancak dan amat sesuai dengan karakternya yang gila-gila.

Sementara itu, pe­ngun­jung bertuah Kelantan Delights berpeluang me­me­nangi wang tunai RM888 apabila menyertai peraduan mencari kapsyen untuk gambar dan selfie paling menarik dan sesuai dengan imej Kelantan Delights.

Bayaran berbuka puasa untuk menikmati 88 jenis sajian Kelantan di restoran itu ialah RM79.90++ pada hari biasa dan RM 89.90++ pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 12:59 PM