MEMBUAT persembahan bersama Ifa Raziah (kanan) dan Linda Eva.
MEMBUAT persembahan bersama Ifa Raziah (kanan) dan Linda Eva.
Oleh Nor Akmar Samudin

Meskipun semakin kurang mendapat publisiti, Fazli Zainal bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian tidak pernah putus.

Terbaru dia bergabung suara dengan Haiza merakamkan lagu raya berjudul Ini Baru Raya ciptaan bekas anggota Revolvers, Anuar Razak.

Fazli berkata, dia sudi menerima Haiza sebagai rakan duetnya kerana senang bekerja dengan penyanyi itu.

“Dia yang mengajak saya bersama-sama merakamkan lagu itu. Lagipun kenapa saya harus menolak kerana Haiza seorang yang mudah bertolak ansur.

“Walaupun ia lagu raya baru, tetapi masih ada unsur klasik seperti rentak inang dan joget. Lagu raya yang terus mendapat tempat di hati peminat dari dulu sampai sekarang tidak boleh terlalu moden kerana orang cepat muak dan lupa.

“Lihat saja lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Dendang Perantau. Setiap kali menjelang Aidilfitri lagu itulah paling dirindui pendengar. Ini termasuk lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

“Disebabkan adanya suntikan klasik membuatkan saya dan Haiza tertarik untuk merakamkannya,” katanya.

Fazli yang terus selesa hidup membujang berkata, sepanjang Ramadan ini juga jadualnya agak padat kerana dia bersama rakan baiknya, Ifa Raziah, mendapat tawaran membuat persembahan di sebuah restoran di Subang Jaya hingga penghujung Ramadan ini.

Turut bersama mereka menyanyi di sana ialah Linda Eva.

“Alhamdulillah, Ramadan ini saya tidak sunyi. Di samping menyanyi, saya juga kali pertama cuba berniaga kain samping dan butang baju Melayu.

“Saya hanya mencuba kerana seronok melihat rakan artis berniaga dan mampu memberi pulangan yang bagus. Tak sangka pula ada yang berminat, Alhamdulillah kain samping yang diambil daripada pembekal sebanyak 40 helai hanya tinggal beberapa helai saja lagi,” katanya.

Melihatkan sambutan baik itu, terdetik di hati Fazli untuk membuka butik berkonsepkan dalam kafe kerana hobinya yang suka makan.

“Kini dengan pelbagai acara diadakan sepanjang tahun, kain samping dan butang baju Melayu tidak lagi dipakai pada musim perayaan saja. Jadi, saya yakin ia sentiasa ada pasaran dan saya juga ingin mengeluarkan baju Melayu Teluk Belanga jenama sendiri.

“Bukan saja kerana saya sendiri selesa menggayakan baju fesyen itu yang tambah cantik apabila di sekeliling leher dijahit tulang belut atau mata lalat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 10:41 AM