Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL Zaharudin Basirun (belakang kanan), Mohamad Adzan (belakang tengah) dan Ifa bersama barisan artis pada sidang media Konsert Dangdut Megastar 2017.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL Zaharudin Basirun (belakang kanan), Mohamad Adzan (belakang tengah) dan Ifa bersama barisan artis pada sidang media Konsert Dangdut Megastar 2017.
Michelle Gun


Konsert dangdut pertama di Malaysia menampilkan penyanyi Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) dan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal diadakan di Panggung Anniversary, Sabtu ini.

Persembahan percuma itu bakal menampilkan penyanyi popular Amelina, Ifa Raziah, Salwa Abdul Rahman, Roger Kajol, Fitri Hiswady dan Elda Susanti.

Istimewanya, konsert berkenaan akan diiringi 60 pemuzik Orkestra DBKL di bawah pimpinan Mohamad Adzan Mohd Fadzil.

Ifa yang juga Presiden Bintang berkata konsert Dangdut Megastar 2017 itu merealisasikan impian persatuan untuk membuat persembahan di pentas besar.

“Konsert ini pencapaian besar persatuan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan muzik dangdut di Malaysia.

“Kami berharap ada pihak sudi membantu penyanyi dangdut membuat konsert dan akhirnya impian itu tercapai menerusi kerjasama DBKL.

“Ini konsert dangdut pertama paling besar diadakan kerana belum ada penyanyi genre ini membuat konsert sedemikian,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Malah, penyanyi Terus Terang itu memberitahu sanggup menolak persembahan korporat yang turut berlangsung pada hari sama bagi menjayakan konsert terbabit.

“Bayaran untuk persembahan korporat itu mahal juga tetapi saya tolak. Saya akan mengacara dan kalau sempat akan menyanyi beberapa lagu pada malam konsert nanti.

“Bukan senang merealisasikan impian ini kerana banyak kali menghantar surat permohonan untuk memperjuangkan nasib penyanyi sejak persatuan ini ditubuhkan.

Ujar Ifa, konsert itu pasti menghiburkan penonton kerana bakal menampilkan persembahan hebat dan luar biasa.

“Setiap penyanyi akan mengalunkan tiga lagu. Kami mahu mengikis mentaliti segelintir orang yang menganggap dangdut irama murahan dan hanya untuk kelab malam.

“Saya berharap dengan konsert ini dapat memberi ruang kepada penyanyi dangdut untuk berkarya dan meletakkan mereka sebaris dengan artis lain,” katanya.

Sementara itu, Ifa memberitahu akan meletakkan jawatannya sebagai Presiden Bintang pada penggal akan datang.

“Saya mahu memberi peluang kepada ahli lain untuk memikul tanggungjawab itu pada pemilihan tahun depan.

“Walaupun persatuan cuma ada 25 ahli, bukan mudah untuk menguruskan semuanya kerana perlu melakukan banyak kerja bagi memperjuangkan nasib penyanyi dangdut,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa berhasrat menganjurkan satu lagi konsert dangdut besar tahun depan sebelum berundur daripada jawatannya.

“Pihak persatuan merancang buat konsert lebih gah tahun depan. Namun, sebelum itu perlu lihat dulu sambutan konsert Dangdut Megastar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:56 PM