Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran global dengan sasaran sehingga 25,000 PKS menjelang 2020 menerusi platform e-dagang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai terutama menerusi pengenalan program eTrade yang ditubuhkan tahun lalu dalam memastikan Malaysia terus menjana pendapatan eksport yang konsisten dan tinggi.

Katanya, permohonan sudah dibuka kepada syarikat PKS tempatan untuk menyertai program eTrade sejak 1 Oktober 2014 dan syarikat yang layak akan diberikan e-baucar bernilai RM1,000 untuk digunakan bagi mendaftar syarikat mereka di atas platform e-dagang terkemuka global yang berkolaborasi dengan MATRADE.

“Setakat ini, hampir 300 PKS yang memenuhi syarat menyertai program ini sudah mendapat e-baucar bernilai RM1,000 yang dikeluarkan MATRADE dan selalunya yuran pendaftaran yang dikenakan penyedia e-dagang seperti Alibaba.com adalah sekitar RM2,000.

“Tahun ini, kami menyasarkan 1,500 PKS yang layak untuk menerima RM1,000 (e-baucar) dan seterusnya berpeluang untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka ke pasaran global tanpa sempadan, setiap masa,” katanya.

Menurutnya, PKS juga akan diberi peluang menghadiri latihan percuma daripada laman e-dagang terbabit dalam membantu mereka memaksimumkan penggunaan platform yang disediakan.

Dzulkifli berkata, objektif utama MATRADE memperkenalkan eTrade adalah untuk menggalakkan syarikat Malaysia terutama PKS untuk menggunakan platform e-dagang bagi mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran global terutama di seluruh ASEAN.

Beliau berkata, melalui program ini pihaknya berharap agar PKS dapat menembusi lebih banyak pasaran luar negara dengan mudah dan cepat tanpa memakan kos yang tinggi.

“Menurut kajian yang dijalankan pleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), 28 peratus syarikat PKS sudah mengaplikasikan e-dagang dalam perniagaan mereka walaupun 67 peratus daripada 30 juta penduduk Malaysia mempunyai capaian Internet.

“PKS akan kerugian dan ketinggalan sekiranya mereka tidak mengambil peluang melalui perkembangan trend belian secara online oleh pembeli dan pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:03 AM