Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan 30 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan enam syarikat mega terbabit dalam Program Eksport Perkhidmatan Kerjasama PKS-Syarikat Mega tahun depan dalam usaha meningkatkan penyertaan golongan PKS ke pasaran antarabangsa.

Pada tahun depan, 30 syarikat PKS terbabit dijangka mampu mencatatkan RM70 juta jualan dalam tempoh setahun dan di peringkat permulaan ketika ini 10 PKS dan tiga syarikat mega menyertainya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, program itu adalah satu inisiatif yang dijalankan mengikut pelan tindakan sektor perkhidmatan pada Mac lalu yang berlangsung sehingga 2020.

Beliau berkata, program eksport itu akan memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan profesional yang mendapat permintaan tinggi pasaran asing antaranya seni bina dan pembinaan.

“Kita juga akan menggalakkan lebih banyak syarikat mega untuk menyertai program kerjasama itu terutama bagi mereka yang mempunyai projek atau operasi di luar negara kerana ia akan memberi peluang kepada PKS untuk menerokai pasaran asing.

“Selain itu, Matrade juga akan berusaha untuk membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyokong projek ini yang mana kita juga lihat ia membantu merancakkan prestasi eksport negara pada tahun depan,” katanya pada pelancaran Program Eksport Perkhidmatan Kerjasama PKS-Syarikat Mega di sini, semalam.

Eksport sektor perkhidmatan setakat suku ketiga tahun ini meningkat 1.7 peratus kepada RM34.14 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu dan 3.9 peratus berkembang berbanding suku kedua lalu.

Dzulkifli berkata, pihaknya mengunjurkan 3.5 peratus peningkatan eksport perkhidmatan pada tahun ini dan ia sama seperti yang dicatatkan tahun lalu berikutan cabaran ekonomi semasa.

Katanya, dengan memberi tumpuan kepada eksport perkhidmatan, ia akan mempelbagaikan lagi eksport industri ke pasaran asing dan tidak bergantung kepada industri minyak dan gas yang kini berdepan dengan cabaran kejatuhan harga.

“Kita juga ingin memastikan wujud kerjasama yang baik antara syarikat mega dan PKS yang boleh membantu antara satu sama lain dalam usaha meningkatkan prestasi ekonomi Malaysia pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 7:49 AM