Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menggariskan tiga gelombang iaitu asas, garis asas dan masa depan sebagai pelan perancangan pembangunan infrastruktur sekolah khasnya di Sabah serta Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, gelombang asas bermula pada 2013 hingga 2015, garis asas dari 2016 hingga 2020 dan masa depan pula dari 2021 hingga 2025.

"Bagi gelombang asas, semua sekolah perlu mencapai sekurang-kurangnya keperluan asas yang penting untuk persekitaran selamat, bersih dan kondusif bagi pengajaran serta pembelajaran seperti bilik darjah, bekalan air terawat selain elektrik.

"Bagi gelombang garis asas pula, sekolah perlu ada kemudahan asas untuk penyampaian kurikulum dan pedagogi seperti kemudahan sukan, padang permainan juga perpustakaan," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Idris Jusi (PKR-Batu Pahat) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mohd Idris bertanya langkah diambil untuk membaiki sekolah uzur dan yang berkaitan terutama di Sabah serta Sarawak dalam usaha mencapai pendidikan taraf dunia menjelang 2020.

Bagi gelombang masa depan, Mary Yap berkata, persekitaran pembelajaran yang menarik akan diwujudkan seperti perubahan reka bentuk sekolah, kemudahan sukan lengkap dan kelengkapan bersesuaian lain.

Pada masa sama, Mary Yap memaklumkan peranan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah serta Sarawak juga sudah diperkasa dan kedua-duanya diwakilkan kuasa untuk membuat perolehan berdasarkan had amaun tertentu bagi mempercepatkan proses perolehan.

"Melaluinya, proses kerja dan perkhidmatan seperti baik pulih padang, bekalan elektrik, air bersih juga alat bantuan mengajar dapat dibekalkan dengan lebih cepat.

"Langkah segera ini diambil bagi menangani masalah berkaitan sekolah uzur selain kemudahan infrastruktur terutama sekolah di pedalaman Sabah serta Sarawak. Kerjasama juga diwujudkan dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak dalam aspek bantuan kepakaran berkaitan isu bekalan elektrik juga air," katanya.

Bagi Sabah pula, Jawatankuasa Khas Program Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah ditubuhkan bagi menangani isu pembangunan pendidikan.

"Pemantauan projek pembangunan juga dilakukan bersama Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan semua projek pembangunan pendidikan berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 4:33 PM