MAHDZIR mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di DUN Sarawak, Petra Jaya, hari ini.  FOTO Ihsan Pejabat Premier Sarawak.
MAHDZIR mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di DUN Sarawak, Petra Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Premier Sarawak.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan hampir RM900 juta untuk melaksanakan projek kemudahan infrastruktur asas, ekonomi dan modal insan di Sarawak, tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara tumpuan projek pembangunan infrastruktur asas ialah pembinaan jalan luar bandar (JALB), bekalan elektrik luar bandar (BELB) dan bekalan air luar bandar (BALB).

"Tahun 2022 kita ada peruntukan lebih kurang RM900 juta untuk Sarawak, jadi kita nak belanjakan untuk 2022, tetapi pada masa yang sama, ada projek sambungan 2021 yang belum siap lagi, jadi kita kena tengoklah supaya benda ini berjalan dan pada masa sama bila ada projek yang baharu masuk, kita koordinasi dengan kerajaan negeri.

"Kita ada projek tertentu yang sedang dilaksanakan di negeri Sarawak dan ada yang dipanggil pra pelaksanaan yang belum dilaksanakan, pada masa sama, kerajaan negeri juga ada projek prasarana di bawah bajet negeri yang sedang berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pengarah KPLB Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah.

Mengulas hasil pertemuan dengan Abang Johari, Mahdzir berkata, kerajaan Sarawak dan KPLB bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan bagi semua projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di wilayah itu.

"Jadi, antara perkara yang kita bincang hari ini adalah yang membabitkan koordinasi di antara kerajaan negeri dengan KPLB.

"Premier Sarawak juga bersetuju supaya pasukan teknikal daripada KPLB dan juga daripada kerajaan negeri dapat kerap berjumpa," katanya.

Mengenai projek bermasalah di Sarawak, Mahdzir berkata, setakat ini tidak ada projek yang dihentikan atas faktor penjimatan kos ekoran pandemik Covid-19.

"Ada projek yang sudah siap, ada projek yang sedang dalam pelaksanaan, tetapi paling penting yang belum dan baru nak mula, kita ada koordinasi supaya tiada pertindihan di antara bajet negeri dengan bajet daripada KPLB," katanya.

Mengulas mengenai Bajet 2023 KPLB untuk wilayah Sarawak, beliau yakin peruntukannya akan melebihi daripada tahun ini.

"Insya Allah ada bajet. Itu masih 'embargo' 2023, tapi saya yakin ia lebih daripada 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:03 PM