Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Tinjauan dijalankan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu sejak 2011 hingga 2015 mendapati jumlah harimau di tiga kompleks hutan utama iaitu Taman Negara, Taman Diraja Belum dan Taman Negara Endau-Rompin antara 250 hingga 340 ekor.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, bagaimanapun populasi harimau secara keseluruhannya akan diketahui selepas Survey Harimau Kebangsaan yang dirancang di bawah RMK-11 dilaksanakan.

"Harimau dikelaskan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Harimau juga adalah spesis yang yang dilarang eksport untuk tujuan komersial.

"Bagaimanapun, penghantaran harimau ke luar negara untuk ditempatkan di zoo adalah dibenarkan bagi tujuan konservasi. Sejak 1980-an, 20 harimau ditempatkan di zoo di luar negara.

"Mengikut rekod juga, 70 harimau kini ditempatkan di zoo tempatan," katanya menjawab soalan Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pada masa sama, menurut James Dawos, kerajaan juga sudah mewartakan 35 kawasan perlindungan dengan keluasan 714,267 hektar.

Daripada jumlah kawasan perlindungan berkenaan, 15 daripadanya diuruskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkeluasan 544,449.5 hektar.

"Selain itu, hutan seluas 1.95 juta hektar di bawah hutan simpanan kekal turut dikelaskan sebagai hutan perlindungan. Bagaimanapun, kerajaan sedar kawasan perlindungan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kawasan hidupan liar khasnya harimau.

"Bagi memastikan habitat hidupan liar mencukupi, kerajaan mengambil insiatif melalui Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) dan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Belang Kebangsaan (NTCAP). Pelaksanaannya membolehkan pengurusan kawasan hutan yang terlibat dapat diurus dengan lebih mapan," katanya.

Pada masa sama, menurut James Dawos, kementerian turut menjalankan program konservasi harimau secara ex-situ di Pusat Menyelamat Hidupan Liar, Sungkai, Perak dan ketika ini, 21 harimau ditempatkan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 4:42 PM