Harimau Belang (Harimau Malaya) antara spesies  yang dipelihara.
Harimau Belang (Harimau Malaya) antara spesies yang dipelihara.
Abdullah Darus, 50, (kanan) memberi makan buah betik kepada badak air.
Abdullah Darus, 50, (kanan) memberi makan buah betik kepada badak air.
 Orang ramai mengunjungi Zoo Taiping dan Night Safari untuk melihat pelbagai spesies haiwan tempatan dan luar negara termasuk yang diancam kepupusan.
Orang ramai mengunjungi Zoo Taiping dan Night Safari untuk melihat pelbagai spesies haiwan tempatan dan luar negara termasuk yang diancam kepupusan.
Muhammad Apendy Issahak


Taiping: Kepesatan pembangunan sedikit sebanyak mengakibatkan flora dan fauna diancam kepupusan atau lebih malang ada yang sudah lenyap terus untuk tatapan generasi akan datang.

Kemusnahan dan pencemaran alam semula jadi selain pemburu haram menyebabkan kebanyakan spesies haiwan terlindung kini hanya boleh dilihat di zoo saja.

Di Malaysia kita bernasib baik kerana memiliki beberapa zoo yang berusaha mengekalkan kelestarian dan khazanah negara ini melalui pelbagai program konservasi terutama membabitkan spesies terancam.

Antara yang banyak menjalankan program konservasi Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau lebih dikenali sebagai Zoo Taiping yang diwujudkan sejak 1961.

Zoo Taiping mempunyai keistimewaan tersendiri kerana terletak dalam kawasan semula jadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut.

Mempunyai keluasan 13.7 hektar dengan anak sungai, tasik dan kehijauan flora ia menambahkan lagi keunikannya yang berkonsepkan pameran haiwan terbuka selain mempunyai safari malam.

Pengarahnya, Dr Kevin Lazarus berkata, setakat ini, zoo berkenaan menjadi habitat kepada lebih 1,000 binatang terdiri daripada 120 spesies.

Menurutnya, antara spesies haiwan tempatan yang diancam kepupusan berada di zoo terbabit harimau belang (harimau Malaya), tapir (badak tampung), burung botak upeh, seladang (gaur), anjing hutan (serigala Malaysia) dan terbaru kambing gurun (serow).

“Objektif penubuhan Zoo Taiping bagi tujuan rekreasi dan memberi peluang pelawat melihat hidupan liar yang dipamerkan dalam suasana semula jadi selain untuk pembelajaran.

“Ia juga bagi tujuan konservasi yang berperanan penting yang mana pemeliharaan ex-situ dilaksanakan seiring dengan pemeliharaan in-situ bagi memastikan spesies terancam terus terpelihara.

“Ia juga bertujuan untuk kajian dalam mempelajari perkara baru mengenai hidupan liar yang mana profesional dan amatur boleh menjalankan kajian hidupan yang terdapat di zoo ini,” katanya.

Dr Kevin berkata, konservasi di Zoo Taiping ada empat peringkat iaitu konservasi pendidikan, sumbangan, pembiakan dan projek.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA) dan Ahli Lembaga Eksekutif Persatuan Zoo Asia Tenggara berkata, konservasi bukan hanya membabitkan pembiakan saja sebaliknya kini meliputi pelbagai aspek.

“Konservasi pendidikan adalah mengajar masyarakat mengenai konservasi manakala sumbangan bermaksud membantu apa-apa projek konservasi sama ada dari segi kewangan atau tenaga pakar.

“Pembiakan pula bermaksud konservasi bagi tujuan pelepasan di habitat asal atau baru dan konservasi projek memerlukan kita membuat projek konservasi sendiri,” katanya.

Menurutnya, bagi pendidikan pihaknya memang sudah laksanakan secara berterusan manakala sumbangan pula sedang diwujudkan tabung khas bagi membolehkan sumbangan disalur untuk membantu mana-mana konservasi yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:27 AM