Salah satu operasi pemindahan gajah yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara PERHILITAN Negeri Johor di kawasan Hutan Simpan Kekal Panti di Kota Tinggi. FOTO IHSAN PERHILITAN
Salah satu operasi pemindahan gajah yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara PERHILITAN Negeri Johor di kawasan Hutan Simpan Kekal Panti di Kota Tinggi. FOTO IHSAN PERHILITAN
Adnan Ibrahim


Kluang: Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor, ada kira-kira 120 hingga 160 ekor gajah liar yang hidup di hutan simpan kekal di negeri ini.

Namun daripada jumlah itu, antara 70 hingga 80 ekor gajah sering berdepan konflik dengan manusia berpunca daripada kawasan rayau binatang yang lebih dikenali sebagai 'orang kuat' ini berada dalam lingkungan kediaman penduduk.

Pengarah Perhilitan Negeri Johor Salman Saaban berkata, akibat konflik berpanjangan itu, pihaknya menerima kira-kira 100 aduan sepanjang tahun ini malah ia mengakibatkan kerugian kira-kira RM1.11 juta kepada penduduk.

"Kawasan rayau gajah liar ini membabitkan keluasan hutan hampir 200,000 hektar.

"Ia membabitkan kawasan di Taman Negara Endau-Rompin, Hutan Simpan Kekal Panti, Ulu Sedeli, Kluang, Lenggor, Mersing dan Ulu Sedeli Tambahan," katanya.

Menurut beliau, bagaimanapun, konflik dengan manusia tetap berlaku berikutan semua kawasan hutan simpan kekal berkenaan terletak hampir dengan penempatan manusia dan kebun-kebun kecil yang diusahakan oleh pekebun.

"Antara kumpulan gajah yang kerap direkodkan berkonflik dengan manusia adalah daripada kumpulan Hutan Simpan Kekal Panti membabitkan 30 hingga 40 ekor gajah liar.

"Manakala kawasan penempatan yang menjadi sasaran adalah Kampung Mawai, Kota Tinggi, FELDA Tenggaroh 2, Tanjung Sedeli, Felcra Sungai Ara, Kampung Teluk dan Kambau," katanya.

Menurut Salman, kumpulan lain membabitkan gajah dari Taman Negara Endau-Rompin berjumlah 40 hingga 45 ekor selain dari Bandar Tenggara membabitkan 25 hingga 30 ekor gajah.

"Kumpulan gajah ini menjadikan kawasan penempatan Kampung Orang Asli Peta, Orang Asli Punan, Kampung Sri Lukut, Felda Ulu Pengeli, Gunung Berlumut, Gunung Lambak, Felda Kahang Timur, Kahang Barat dan Kampung Ilham sebagai sasaran.

"Kawasan lain seperti Kampung Tenglur, Mersing, Jemaluang, Felda Tenggaroh, Kampung Sekakap dan Kampung Wak Salam pula sering berdepan kacau ganggu 20 hingga 30 ekor gajah dari hutan simpan kekal Mersing," katanya.

Menurut Salman, bagi mengatasi konflik ini, kerajaan negeri menyediakan satu rizab tanah mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Ia dikenali sebagai Tapak Koridor Santuari Gajah seluas 438.122 hektar yang diselenggara Perhilitan Negeri Johor.

"Kawasan ini tidak termasuk Pusat Pentadbiran Santuari Gajah Johor (JES) seluas 72.99 hektar di Hutan Simpan Kekal Panti.

"Pada masa ini, gajah yang ditangkap atau diselamatkan akan ditempatkan di Taman Negara Endau Rompin manakala bagi anak-anak gajah, ia ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Lanchang, Pahang sehingga JES bersedia menerima anak-anak gajah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 3:10 PM