AZIM (dua dari kiri)  melancarkan Giro Takaful Premier Plan (GTP).
AZIM (dua dari kiri) melancarkan Giro Takaful Premier Plan (GTP).

Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful Bhd (Prudential BSN Takaful) optimis industri takaful domestik mempunyai potensi besar untuk diterokai pemain industri berikutan terdapat ruang pasaran yang masih luas bersandarkan catatan pertumbuhan antara 15 hingga 25 peratus setakat suku pertama tahun ini.

Peningkatan kesedaran pengguna terhadap produk takaful juga dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun memberi peluang kepada pemain industri terbabit untuk terus meluaskan pasaran mereka di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azim K Mithani berkata, kesan pertumbuhan positif industri Takaful di Malaysia dapat dilihat menerusi pengenalan produk terbarunya, Giro Takaful Premier (GTP) yang mendapat sambutan sehingga 250 pelanggan menyertainya sejak diperkenalkan April lalu di Bank Simpanan Nasional (BSN).

Beliau berkata, daripada segi aset di bawah pengurusan (AUM), Prudential BSN Takaful mencatatkan premium RM600 juta dan melaksanakan pelbagai instrumen pelaburan patuh syariah antaranya ekuiti, sukuk dan tunai.

“Syarikat juga memperoleh pengeluaran perniagaan baru RM340.1 juta dengan penguasaan pasaran 33.1 peratus. Berdasarkan inovasi produk kami juga meluaskan perkhidmatan kepada semua golongan termasuk bukan Islam.

“Keadaan pasaran industri pada tahun ini juga dijangka berkembang walaupun terdapat andaian pengguna lebih berjaga-jaga dalam perbelanjaan berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Produk GTP menggabungkan perlindungan, simpanan dan pelaburan di dalam satu pelan yang menyasarkan untuk memenuhi impian jangka masa panjang individu sama ada membina dana pendidikan atau persaraan, simpanan bagi memiliki rumah idaman, menunaikan haji atau umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:40 PM