WAN Saifulrizal  (kiri) dan Jay Khairil Jeremy pada Majlis Pelancaran BSN Takaful Sakinah.
WAN Saifulrizal (kiri) dan Jay Khairil Jeremy pada Majlis Pelancaran BSN Takaful Sakinah.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melancarkan pelan perlindungan baharunya, BSN Takaful Sakinah dengan bayaran tahunan serendah RM55 setahun.

Pelan Perlindungan Pertama PruBSN dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) itu menyediakan pelan perlindungan mampu milik dengan akses mudah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengurangkan beban kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pihaknya optimis pelan perlindungan ini akan meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful di Malaysia.

"Penting untuk lebih ramai individu memiliki pelan perlindungan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka.

"BSN Takaful Sakinah diperkenalkan sebagai Pelan Perlindungan Pertama yang dihasilkan khas untuk membantu komuniti mengurangkan beban kewangan terhadap orang yang tersayang jika berlaku musibah kematian terhadap peserta.

"Dengan pelan perlindungan baharu yang dilancarkan bersama pihak BSN ini, kami berada pada landasan yang tepat dalam misi kami untuk menyediakan perlindungan kewangan mampu milik dengan akses mudah kepada lebih ramai rakyat Malaysia," katanya di majlis pelancaran BSN Takaful Sakinah secara maya di sini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah.

BSN Takaful Sakinah adalah pelan yang boleh diperbaharui secara tahunan dengan perlindungan selama 12 bulan dan ia adalah produk patuh syariah yang mana peserta harus mempunyai akaun simpanan BSN untuk membolehkan mereka membuat pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 9:07 AM