Orang ramai membantu menangkap badak air yang terlepas dari zoo selepas banjir di Tbilisi.
Orang ramai membantu menangkap badak air yang terlepas dari zoo selepas banjir di Tbilisi.

Tbilisi (Georgia): Singa, harimau, beruang dan haiwan liar lain terlepas daripada zoo di ibu negara Georgia semalam, menambahkan kepada keadaan kelam-kabut akibat banjir yang menyebabkan sekurang-kurangnya lapan terbunuh.

Anggota polis dan tentera memburu haiwan terbabit dan berjaya menangkap semula beberapa binatang manakala ada juga yang terpaksa ditembak mati.

Perdana Menteri Irakli Garibashvili menggesa penduduk Tbilisi supaya tidak keluar rumah selagi haiwan terbabit masih berkeliaran.

Banjir berlaku selepas hujan selama beberapa jam menyebabkan air Sungai Vere melimpah, mengakibatkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur di Tbilisi.

Jurucakap kementerian dalam negeri Nino Giorgobiani berkata: “Setakat ini lapan disahkan mati, namun masih ada yang tidak dapat dikesan.”

Katanya, pasukan penyelamat menyelamatkan puluhan mangsa menggunakan helikopter selepas hujan lebat turut mengakibatkan tanah runtuh di jalan Tskneti-Betania berhampiran Tbilisi.

Banjir menyebabkan jalan raya dan dataran dipenuhi air yang turut menghanyutkan kenderaan serta memasuki rumah penduduk.

Jurucakap Zoo Tbilisi Mzia Sharashidze berkata, tiga mayat ditemui di dalam taman berkenaan termasuk dua pekerja.

“Kami masih mencari haiwan yang terlepas tetapi sebahagian besar zoo kini tidak wujud lagi kerana dipenuhi air.

“Haiwan yang hilang termasuk 20 serigala, lapan singa selain harimau putih, harimau, jackal serta jaguar. Ada yang masih hilang dan ada yang terpaksa ditembak mati pasukan khas.

“Hanya tiga daripada 17 penguin kami dapat diselamatkan,” katanya.

Siaran televisyen Rustavi 2 menunjukkan seekor badak air berenang di Dataran Pahlawan di tengah bandar Tbilisi dan mengelak pasukan penyelamat yang berusaha menangkapnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:35 AM