HARIMAU putih yang ditembak mati selepas membunuh seorang lelaki. - Foto Reuters
HARIMAU putih yang ditembak mati selepas membunuh seorang lelaki. - Foto Reuters

Tbilisi: Harimau putih yang terlepas dari zoo ketika banjir melanda bandar ini dan membunuh seorang lelaki semalam, mati ditembak mati oleh polis.

Menteri Dalam Negeri Republik Georgia, Vakhtang Gomelauri, berkata harimau itu bersembunyi dalam bekas kilang yang dijadikan pasar barangan binaan ketika ia menyerang lelaki berkenaan. Lelaki itu mati di hospital.

Menurutnya, komando polis dikejarkan ke tempat kejadian dan menembak mati harimau berkenaan.

“Kami berhasrat menembak ubat pelali tetapi harimau itu terlalu agresif,” katanya.

Sejak banjir melanda ibu kota negara bekas Soviet Union itu Ahad lalu, yang turut menyebabkan 19 orang mati dan enam masih hilang, penduduknya diarah berada dalam rumah kerana kira-kira 300 haiwan liar dari zoo berkenaan terlepas termasuk serigala, singa dan badak. Seekor lagi harimau, beruang dan hyena masih bebas.

Sehingga semalam, sebahagian besar haiwan itu sudah ditangkap tetapi sebelum itu, polis menembak mati banyak haiwan, termasuk seekor singa dan enam serigala. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 2:42 AM