Hafiz Ithnin


KUASA tular di media sosial mengenai destinasi yang dianggap syurga dunia di negara seberang menjentik jiwa fotografi tiga pemuda ini untuk menerokainya.

Ternyata berada selama lapan hari tujuh malam di Surabaya, Indonesia baru-baru ini terasa begitu terisi dengan pelbagai tarikan 'syurga dunia' yang diimpikan.

Tempoh penerbangan dari Kuala Lumpur ke negeri itu juga tidak lama hanya mengambil masa kira-kira tiga jam sahaja.

Perkara itu dikongsikan tiga pengembara itu kepada penulis ketika ditemubual sambil santai menikmati bercawan teh panas selepas seminggu mereka pulang dari destinasi itu.

Begitu rancak Amir Irfan Zulkifli, Raja Syazwan Shah Raja Azhy dan 'Auf Aufa Radzi berkongsi pengalaman mereka berkelana.

Irfan berkata, sebaik sahaja membeli tiket penerbangan ke Surabaya kira-kira tiga bulan sebelum itu, mereka sudah merencana untuk tidak membuat sebarang tempahan hotel. Alasannya, untuk merasai pengalaman pengembara yang sebenar.

Katanya, lebih manis mereka sudah mempunyai kenalan orang tempatan yang sudi menjadi penunjuk arah bagi menerokai pelbagai destinasi menarik di Surabaya. Nadinya, alam semula jadi!

"Selama tujuh malam, kami hanya tidur di rumah kenalan orang tempatan. Setiap malam kami bermalam di tempat yang berlainan. Sempat juga rasa tidur di kedai makan dan di dalam kereta.

 MENAIKI pacuan empat roda menerokai sekitar Gunung Bromo.
MENAIKI pacuan empat roda menerokai sekitar Gunung Bromo.

"Bukan itu sahaja, kami juga sempat 'merasa' menggunakan tandas awam terutama di stesen minyak untuk membersihkan diri. Bukan kerana ingin berjimat, tetapi mahu merasa pengalaman sebagai pengembara. Pada masa sama, membidik foto di dunia Surabaya yang cukup terkenal dengan keindahan alam semula jadinya," katanya.

Jelasnya, pada hari pertama sahaja mereka sudah dibawa ke destinasi pelancongan begitu popular di Surabaya. Apa lagi, jika bukan ke Gunung Bromo!

Namun, bukan untuk mendaki sehingga ke puncak, cukup sekadar ke Penanjakan Satu, Bukit Botak dan ke Kawah Bromo.

"Sebaik tiba di Penanjakan Satu, keindahannya boleh dikatakan bagai berada di dalam sebuah lukisan pemandangan. Cukup cantik! Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata kerana terasa berada di dalam sebuah 'kawah' pergunungan.

"Sebenarnya, Penanjakan Satu hanyalah mukadimah, ceritera keindahan yang paling tajam ialah Kawah Bromo kerana ia bukan sekadar sebuah pemandangan indah malah mempunyai jiwa alam yang hidup dengan aktiviti manusia serba ketenangan," katanya.

PANORAMA Air Terjun Tumpak Sewu seperti di dunia fantasi.
PANORAMA Air Terjun Tumpak Sewu seperti di dunia fantasi.

Jelasnya lagi, mengembara ke tiga destinasi di sekitar Gunung Bromo menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Pasir Berbisik juga ibarat membawa mereka ke dunia lain.

"Soal kenikmatan merakam gambar dan video menjadi tidak terhingga kerana setiap sudut menawarkan keindahan yang tersendiri dan mempesonakan kami bertiga yang baharu kali pertama ke destinasi itu.

"Bukit Botak pula menawarkan sebuah lagi landskap keindahan yang menarik apabila deretan gunung di sekeliling yang kelihatan rendah itu mempunyai 'corak' beralun," katanya.

Hari kedua pula, mereka dibawa ke destinasi lain, tetapi masih dalam daerah Probolinggo untuk melihat satu lagi 'syurga' tersembunyi di Surabaya terutama menerokai Air Terjun Madakaripura atau dikenali sebagai Air Terjun Abadi.

Irfan berkata, dia difahamkan Air Terjun Madakaripura adalah kedua tertinggi di Indonesia dan paling tinggi di Pulau Jawa dengan ketinggian kira-kira 200 meter.

DARI kiri:  Irfan, Syazwan dan Aufa berkelana ke Surabaya bagi menikmati pesona alam semula jadinya.
DARI kiri: Irfan, Syazwan dan Aufa berkelana ke Surabaya bagi menikmati pesona alam semula jadinya.

"Air Terjun ini mempunyai dua bahagian iaitu yang pertama pengunjung boleh melihat air terjun yang mengalir di sebalik pokok yang tumbuh meliar di celahan batu. Bahagian kedua pula pemandangan aliran air terjun seperti biasa yang berlatar belakang batu sungai.

"Selain keindahan air terjun itu sendiri, kami seakan-akan berada di dalam sebuah kawah batu sebaik tiba di bahagian kedua Air Terjun Madakaripura kerana apabila mendongak kepala, akan kelihatan langit biru di dalam bulatan batu," katanya.

Pada masa sama, jika ke Surabaya pastinya Kawah Ijen menjadi tumpuan pengunjung termasuk tiga pemuda ini.

Katanya, menerokai Kawah Ijen seakan-akan berada di dalam dunia magis alam semula jadi yang tidak kurang memukaunya. Apatah lagi diberi kesempatan untuk merasai laluan denai berbatu hasil hembusan lava gunung berapi.

"Seawal 1.30 pagi kami sudah melakukan pendakian untuk tiba di puncak Kawah Ijen bagi melihat sendiri fenomena alam semula jadi yang menarik iaitu 'blue fire'. Ia adalah satu daripada dua lokasi yang terdapat di dunia ini.

DERETAN Air Terjun Coban Sewu yang memukau.
DERETAN Air Terjun Coban Sewu yang memukau.

"Untuk melihat 'blue fire' ini terdapat masa yang dicadangkan iaitu pada 3.30 pagi hingga 5.30 pagi. Seusai menikmati fenomena magis itu, kami mendaki semula ke puncak untuk menyaksikan panorama matahari terbit yang cukup memukau," katanya.

Selain destinasi itu, Irfan berkata, Tumpak Sewu atau Coban Sewu juga juga antara destinasi yang memukau pandangan kerana alam semula jadi yang dihidangkan seakan-akan membawa mereka ke dunia filem lasak fiksyen, Avatar.

"Air Terjun Tumpak Sewu terletak di Lumajang mempunyai keunikan tersendiri kerana begitu luas dan banyak air terjun di sekelilingnya. Boleh dikatakan 180 darjah pemandangan adalah air terjun berkenaan.

"Salah satu air terjun itu adalah sumber dari Sungai Glidik iaitu sungai yang mengalir dari Gunung Semeru. Mengenai pemandangannya, air terjun, batu berona hitam kehijauan dan coklat serta limpahan tipis matahari pagi seakan-akan kami berada di dunia Avatar," katanya.

Katanya, keindahan Surabaya bukan sekadar fantasi di media sosial yang kadangkala sudah disunting untuk menaikkan serinya, tetapi ia adalah realiti alam semula jadi. Hanya mereka yang sudah ke sana dapat menikmati keajaiban sentuhan Maha Pencipta!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 7:00 AM