KANAK-KANAK menyertai aktiviti senaman bersama Master Sim.
KANAK-KANAK menyertai aktiviti senaman bersama Master Sim.
LEE (kanan) dan Master Sim bersama panda dan kanak-kanak dari Rumah Joy.
LEE (kanan) dan Master Sim bersama panda dan kanak-kanak dari Rumah Joy.
Siti Zarinah Sahib

Berdasarkan laporan media, Malaysia dicatatkan negara yang mempunyai penduduk paling gemuk di rantau ini dan negara keenam mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia.

Pada April 2012, satu kaji selidik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati lebih satu perempat kanak-kanak sekolah di Malaysia dikategorikan sebagai obes atau berlebihan berat badan.

Dalam tempoh antara 2006 hingga 2011, Malaysia mencatatkan peningkatan obesiti sebanyak 14 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas dengan 2.6 juta golongan dewasa obes di negara ini pada 2011.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di seluruh dunia bilangan bayi dan kanak-kanak kecil (berusia di bawah lima tahun) yang berlebihan berat badan atau obes meningkat daripada 32 juta pada 1990 kepada 42 juta pada 2013. Majoriti kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes tinggal di negara membangun. Sekiranya trend semasa ini berterusan, bilangan bayi dan kanak-kanak kecil obes di seluruh dunia akan meningkat kepada 70 juta menjelang 2025.

Statistik yang mengejutkan ini mendorong Ketua Pegawai Eksekutif BMS Organics Terry Lee melancarkan kempen kemasyarakatan perkembangan menyeluruh kanak-kanak BMS Organics HAHA Kids 2016.

‘HAHA’ adalah singkatan kepada Healthy, Active, Happy & Advanced bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak membesar dari sudut holistik tubuh, minda dan jiwa yang menjadi tunjang kepada falsafah korporat BMS Organics.

Menurut Terry pemakanan dan senaman sememangnya penting dan menjadi asas memperoleh gaya hidup sihat, terutama untuk kanak-kanak.

“Kami komited untuk mengekalkan rakyat Malaysia sihat menerusi pemakanan vegetarian, organik dan kurang pengambilan daging. Ia boleh dimulakan dengan memberikan pengenalan makanan sihat untuk bayi dan kanak-kanak. Pemilihan makanan seimbang mampu membentuk fizikal dan mental kanak-kanak pada peringkat awal usia. Memberikan bayi makanan yang penuh tenaga, tinggi kandungan lemak, gula dan garam menjadi penyumbang utama kepada kegemukan,” katanya

Menurut pakar pemakanan BMS Organics Sau Pei, seorang kanak-kanak memerlukan pengambilan kalori, protein, kalsium dan pelbagai jenis khasiat yang mencukupi untuk tumbesaran dan perkembangan yang sihat. Ibu bapa atau penjaga memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak membesar dengan tabiat makan yang menyihatkan.

“Empat khasiat utama bagi kanak-kanak ialah protein untuk tumbesaran otot dan membaik pulih, asid dokosaheksanoik (DHA), sejenis asid lemak politaktepu yang penting di dalam tubuh yang membantu perkembangan otak dan mata.

“Kalsium menguatkan tulang dan gigi manakala vitamin D menggalakkan penyerapan kalsium. Zat besi diperlukan untuk menghasilkan hemoglobin. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia, menjejaskan daya ingatan dan pertambahan berat badan,” katanya.

Protein boleh diperoleh dalam makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe manakala DHA banyak terdapat dalam bijirin gandum dan brokoli.

Jelas seorang lagi pakar pemakanannya, Cammie Tang, terdapat lima prinsip pemakanan sihat yang sepatutnya dijadikan panduan ibu bapa dalam menyediakan hidangan untuk anak.

Antaranya makan mengikut hidangan kategori makanan yang diperlukan seperti buah-buahan, bijirin, protein, sayur-sayuran dan susu, pertimbangkan warna pelangi semasa menyediakan hidangan dalam pinggan si kecil, elakkan mereka cerewet memilih makanan, pilihlah makanan dengan bijak dan beri tumpuan ketika makan.

Bagi menjadikan kanak-kanak gemar makan sayur-sayuran sediakan makanan mengikut warna pelangi. Warna makanan menandakan kandungan khasiat yang berbeza. Misalnya pilih sayuran dan buah-buahan merah seperti epal, lobak merah dan tomato yang mempunyai antioksidan yang tinggi.

Buah oren pula kaya vitamin C manakala sayuran hijau bagus untuk tulang dan gigi yang kuat. Dengan menyediakan hidangan daripada sumber pelbagai warna akan menjadikan kanak-kanak suka dan tidak cerewet memilih makanan.

Akhir sekali usahakan agar anak memberikan tumpuan ketika makan iaitu dengan tidak bermain telefon atau tablet ketika makan, makan di meja bagi memberikan mereka masa mengunyah dengan betul.

Kanak-kanak perlu aktif

Kehadiran telefon pintar dan tablet menjadikan kanak-kanak gemar bersendiri dan tidak lagi aktif melakukan aktiviti di luar rumah. Malah perkara sama turut dilaporkan media di seluruh dunia yang mengatakan kanak-kanak kini lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen, DVD atau bermain permainan komputer yang menyumbang kepada masalah berlebihan berat badan.

Keadaan ini sangat membimbangkan kerana si kecil pada usia dua hingga 12 tahun sememangnya perlu lebih aktif dan banyak bergerak secara fizikal dan mental bagi membantu perkembangan kesihatan dan akademik mereka.

Selain pemakanan yang betul, unsur kedua dalam kempen HAHA, iaitu ‘A’ bermaksud ‘Aktif’. Untuk itu, BMS Organics memilih Master Tai Chi, Sim Eng Ker dari Persatuan Yang Style Tai Chi Chuan Malaysia untuk menunjukkan demonstrasi pergerakan seni mempertahankan diri asas bersama kanak-kanak dari Rumah Joy (rumah kebajikan yang menyediakan perlindungan, penjagaan dan latihan kepada anak yatim, kanak-kanak dan remaja).

Menurut Master Sim, kebanyakan kanak-kanak tidak bersenam dan jika ada, tempohnya pula tidak mencukupi. Kurang daripada satu pertiga kanak-kanak berumur enam hingga 17 tahun bersenam sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari sedangkan kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun memerlukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti sederhana dan lasak. Sebaiknya aktif sehingga tiga jam setiap hari.

Menurut Dr Joseph Mercola dalam laman webnya Peak Fitness, menjadikan kanak-kanak aktif di sekolah adalah cara berkesan meningkatkan pembelajaran, tumpuan dan keputusan ujian. Kajian mendapati selepas 30 minit berada di atas mesin larian (treadmill), prestasi pelajar meningkat 10 peratus.

Laporan terkini daripada Institute of Medicine menunjukkan kanak-kanak yang aktif mempunyai beberapa kelebihan: tumpuan yang lebih baik, proses kognitif lebih pantas dan mempunyai prestasi lebih cemerlang dalam ujian akademik berbanding kanak-kanak yang kurang aktif.

“Regim fizikal yang aktif seperti seni mempertahankan diri sememangnya berguna untuk kanak-kanak terutamanya dalam kes obesiti dan kemurungan yang kian meningkat dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Seni mempertahankan diri adalah satu bentuk senaman yang menyediakan kelebihan dari segi mental, fizikal dan kerohanian,” kata Master Sim yang berpengalaman mengajar tai chi selama 40 tahun.

Pada majlis itu, kanak-kanak teruja dan bersemangat mengikut pergerakan yang ditunjukkan Master Sim, apatah lagi apabila maskot panda yang comel menemani mereka. Kegembiraan jelas tergambar pada wajah mereka walaupun baju dibasahi peluh.

Manfaat seni mempertahankan diri

Mengapa senaman seni mempertahankan diri Cina sangat penting? Jurnal Perubatan Cina Amerika melaporkan seni mempertahankan diri Cina seperti qigong yang menggunakan teknik pernafasan, pergerakan lembut dan meditasi, boleh merendahkan tekanan darah.

Kajian turut menunjukkan mengamalkan senaman seperti yoga, sangat bermanfaat untuk mereka yang mengalami kemurungan dan kebimbangan. Gaya seni mempertahankan diri yang mempunyai impak lebih tinggi dan agresif seperti kendo terbukti membantu untuk menangani kemurungan dengan meningkatkan harga diri dan keyakinan diri.

Apabila kanak-kanak sudah melalui proses yang disebutkan tadi seperti pemakanan seimbang dan aktif, sudah pasti mereka berada dalam keadaan gembira dan positif untuk menjalani kehidupan seharian.

Pada acara bersama media yang diadakan di Sky Park @ One City Mall minggu lalu, BMS Organics memberikan tiket filem Kung Fu Panda 3 secara percuma dan produk kesihatan barunya kepada kanak-kanak dari House of Joy.

Pada majlis sama, syarikat itu turut melancarkan rangkaian baru pemakanan kanak-kanak yang terdiri daripada produk makanan berasaskan tumbuhan yang menyediakan jumlah ideal bagi vitamin, mineral, karbohidrat, protein dan lemak untuk pembesaran kanak-kanak sihat.

Tanpa bahan tambahan, pewarna dan pengawet tiruan, produk tersebut dibangunkan khusus untuk kanak-kanak berserta keperluan pemakanan khusus bagi si comel yang berusia satu hingga lima tahun dan enam hingga 12 tahun. Produk baru berkenaan bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menyediakan hidangan sihat mereka sendiri.

Bagi kempen HAHA, BMS menyediakan empat set terdiri daripada pelbagai jenis barangan berkualiti untuk kanak-kanak termasuk beg kartun dalam lingkungan harga RM268 hingga RM298. Untuk maklumat lanjut, sila layariwww.bmsorganics.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 11:25 AM