Kuala Lumpur: Peluang ujian Sampel B negatif tetap cerah untuk atlet badminton negara yang dikaitkan positif ujian air kencing Sampel A di Kejohanan Dunia, Ogos lalu apabila bakal melakukan ujian Sampel B di Oslo, Norway pada 5 November ini.

Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) Nishel Kumar (gambar) berkata, perkara itu tidak mustahil kerana pernah ada kes sama membabitkan bekas pemain badminton negara Sairul Amar Ayob yang ujian Sampel B miliknya negatif.

“Air kencing yang diambil sama iaitu 60ml dalam botol A dam 30ml dalam botol B.

“Berbeza Sampel A, ujian Sampel B akan dibuka di depan atlet itu sendiri. Sudah ada beberapa kes menyaksikan ujian Sampel B negatif termasuk kes Sairul,” katanya semalam.

Nishel berkata, keputusan melakukan ujian Sampel B adalah hak atlet dan mana-mana pihak tidak boleh mempertikaikan keputusan itu.

“Sebagai atlet, sudah tentu mereka mahu mempertahankan hak mereka. Selagi ada peluang mempertahankan diri, mereka pasti mahu melakukannya,” katanya yang tidak menolak unsur sabotaj juga boleh berlaku dalam ujian Sampel A.

Nishel yang bakal mengiringi atlet berkenaan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz ke Oslo bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh pemergian ketiga-tiga mereka.

Arena Metro sebelum ini melaporkan atlet yang dikaitkan ialah jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Pada 2006, Sairul diuji positif dexamethasone, iaitu bahan terlarang yang sama didakwa digunakan dalam kes Chong Wei.

Sairul yang ketika itu bermain di bawah kelab KLRC, menjalani ujian Sampel B di Belgium selepas didapati positif ketika ujian rawak pada saingan separuh akhir Terbuka Belanda 2006.

Begitupun ujian Sampel B yang dilakukannya negatif. Bagi rakyat Malaysia, keputusan sama juga diharapkan daripada Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:02 AM