Jangan panik! Gen Y kongsikan beberapa gaya boleh dicuba untuk kembali yakin ketika gaya rambut ‘tak menjadi’.

Beanie

Teknik paling berkesan untuk menyembunyikan masalah rambut yang kusut adalah dengan memakai aksesori rambut seperti beanie.

Terdapat pelbagai jenis beanie dengan pilihan warna berbeza. Seeloknya, pilih yang sesuai dengan gaya harian. Mahu lebih selamat? Pilih beanie berwarna hitam kerana boleh dipadankan dengan apa saja gaya.

Untuk tampak lebih menarik, pastikan rambut hadapan dibiarkan bebas ketika memakai aksesori rambut ini.

Bukan untuk si gadis saja, jejaka juga boleh mencuba.

Tocang ringkas

Tidak kisah sama ada diikat tepi, tengah ataupun ikatan tinggi. Rambut diikat dengan bentuk membulat seakan-akan ‘siput’ ini mampu menyembunyikan masalah rambut.

Untuk kekal kemas, pastikan beberapa klip rambut bersaiz kecil diselit untuk mengemaskan ikatan. Langkah terbaik, semburkan sedikit penyembur rambut supaya rambut tidak berselerak .

Bagi lelaki berambut panjang, sembunyikannya dengan mengikat rambut untuk kelihatan kemas.

Pintal ke tepi

Untuk menyembunyikan rambut ‘tak menjadi’, pintalkan rambut dengan turutan dari bawah ke arah kanan (aras telinga), kemudian ke tengah (belakang leher). Langkah akhir, ikat supaya rambut tidak terbuka.

Bawa semua helaian rambut ke bahu dan sikatkan ia supaya kemas. Untuk dapatkan alunan rambut sempurna, pintalkan ia dengan menggunakan jari dan ‘kunci’ ia dengan semburan rambut.

Bukan saja tampak berbeza daripada biasa, gaya rambut ini boleh dilakukan sama ada untuk majlis formal ataupun ke kuliah. Untuk lebih menarik, gunakan aksesori seperti ‘headband’ atau klip bercorak yang pasti melengkapkan lagi gaya bersahaja anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:03 AM