IBU bapa perlu berhati-hati ketika memotong di bahagian tepi kepala kanak-kanak dan perlu ‘melipatkan’ telinga jika ingin memotong di belakangnya.
IBU bapa perlu berhati-hati ketika memotong di bahagian tepi kepala kanak-kanak dan perlu ‘melipatkan’ telinga jika ingin memotong di belakangnya.
Hafiz Ithnin


PADA musim pandemik Covid-19 dan kini Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan menyebabkan ramai ibu bapa mula gusar kerana rimas melihat rambut anak lelaki mereka semakin panjang.

Usah risau kerana sebenarnya anda juga boleh menggunting dan mengemas rambut anak bujang itu sendiri supaya lebih kemas dan memberi keselesaan.

Tenaga Pengajar Seni Reka Gaya Rambut GIATMARA Ampang Jaya, Syafiqah Janudin berkata, sebelum menggunting rambut si kecil, ibu bapa atau penjaga perlu mengetahui secara asas beberapa perkara mengenai rambut.

"Pertama, tekstur rambut sama ada jenis kasar atau halus. Terdapat tiga jenis iaitu halus, sederhana dan kasar. Rambut halus akan lebih mudah rosak.

"Kedua, ketebalan rambut iaitu ukuran bilangan rambut yang tumbuh. Kemudian, keporosan rambut yang menunjukkan keupayaan rambut dalam menyerap cecair. Terakhir iaitu keanjalan yang menerangkan keupayaan rambut menganjal dan kembali kepada keadaan asal selepas ditarik," katanya.

Syafiqah berkata, antara yang perlu dilakukan ialah mempunyai persediaan alatan seperti set gunting yang terbahagi kepada dua jenis gunting, gunting rambut dan gunting penipis.

Jelasnya, mesin rambut juga boleh digunakan dan proses guntingan akan lebih cepat serta memberi hasil sekata. Selain itu, klip seksyen sebagai tambahan untuk membuat pembahagian rambut dan memudahkan proses kerja.

"Ibu bapa juga memerlukan botol penyembur air untuk membasahkan rambut bagi memudahkan proses guntingan dilakukan.

"Bagaimanapun, jika memakai mesin untuk memotong rambut jangan basahkan rambut kerana khuatir ia akan merosakkan mesin berkenaan," katanya.

Tambahnya, gunakan kerusi yang tidak mempunyai tempat sandar tinggi untuk memudahkan proses gunting dilakukan kerana saiz kanak-kanak yang rendah menyukarkan untuk memotong rambut mereka.

PERLU pastikan jenis rambut kanak-kanak sebelum membuat keputusan menggunakan peralatan pemotong rambut.
PERLU pastikan jenis rambut kanak-kanak sebelum membuat keputusan menggunakan peralatan pemotong rambut.

Katanya lagi, kenal pasti dulu teknik guntingan gaya yang hendak dilakukan, lebih mudah pilih sahaja gaya yang klasik yang sesuai untuk kanak-kanak.

"Jika menggunakan mesin selalunya terdapat peringkat tapak satu hingga tiga. Perlu diberi perhatian jika rambut halus jangan menggunakan tapak satu kerana menampakkan rambut seperti botak.

"Sebagai tambahan, bagi rambut kanak-kanak tidak memerlukan pisau cukur kerana menggunakan mesin 'trimmer' sudah memadai kerana rambut si kecil halus tidak sama dengan orang dewasa yang lebih kasar," katanya.

Syafiqah turut memberi cadangan beberapa gaya rambut yang sesuai untuk kanak-kanak lelaki:

1. Low graduation cut:

Memotong rambut di bahagian tepi dan belakang dengan kedudukan gunting atau mesin kosong darjah dan naik sehingga ke 30 darjah guntingan.

2. Medium graduation cut:

Hampir sama dengan low graduation cut tetapi bermula dari kosong sehingga menjadi 45 darjah guntingan.

3. Scissor over comb cut:

Guntingan ini selalu digunakan untuk kanak-kanak lelaki yang mempunyai rambut tidak lebat. Hanya menggunakan gunting dan sikat sahaja. Ia akan nampak lebih natural. Teknik ini juga sering digunakan untuk orang yang sudah berumur.

4. Layer cut:

Layer cut ini terdapat beberapa jenis. Namun, untuk kanak-kanak buat short layer cut, hasilnya nampak lebih kemas dan lebih pendek. Dalam masa tampak bergaya.

5. Basic cutting:

Gaya yang biasa untuk budak sekolah kerana ia tidak begitu bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:35 AM