MOHAMAD Zaki mula beruban pada usia 29 tahun.
MOHAMAD Zaki mula beruban pada usia 29 tahun.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Mohamad Zaki Ilias, 40, pernah berasa hilang semangat apabila uban mula tumbuh dengan 'meriah' ketika berusia 29 tahun.

Ini kerana kehadiran rambut putih itu menyebabkan Mohamad Zaki kelihatan sedikit berumur berbanding usia sebenar malah pernah dipanggil 'pak cik' semasa membeli barang di kedai runcit.

Bagaimanapun, Mohamad Zaki berjaya melenyapkan perasaan itu melalui cara mentransformasikan dirinya daripada seorang lelaki 'tua' kepada lelaki yang berkarisma, bergaya, matang dan mempunyai aura tersendiri.

"Perubahan ini saya lakukan pada penampilan yang lebih kemas daripada segi pakaian dan gaya potongan rambut.

"Isteri banyak memainkan peranan terhadap perubahan ini dan dia (isteri) bertindak seperti perunding imej saya," katanya.

Mohamad Zaki berkata, dia menganggap rambut putihnya adalah aset, malah pada setiap bulan, akan melakukan rawatan rambut di salon, memakai serum dan menggunakan syampu khas untuk penjagaan kesihatan rambut.

"Sebelum ini, rambut saya menjadi bahan gurauan rakan-rakan malah saya pernah terasa hati dengan usikan mereka.

"Lama-kelamaan, saya menjadi lali dan menerima gurauan ini dengan hati terbuka.

"Saya mempunyai prinsip tersendiri berkaitan dengan rambun beruban iaitu biar rambut putih, asalkan hati tidak hitam," katanya.

Katanya, kini warna rambutnya diminati ramai rakan-rakan kerana warna kelabu rambut itu dilihat unik dan menarik.

"Malah, ada yang bertanyakan tip untuk mendapatkan warna rambut seperti ini.

"Saya menyedari uban semakin banyak apabila ada rakan yang menegur," katanya.

Jelasnya, dia pernah mewarnakan hitam rambutnya tahun lalu, semasa mendirikan rumahtangga.

"Saya tidak akan mewarnakannya lagi kerana suka dengan rambut sekarang yang menampakkan diri sebagai lelaki matang," katanya.

Kakitangan swasta itu berkata, faktor genetik berkemungkinan antara penyebab dia beruban awal memandangkan bapanya turut mengalami masalah sama sejak usia muda.

Katanya, dia semakin selesa dengan penampilan sekarang kerana walaupun beruban tetapi rambutnya masih lebat.

"Berbanding jika rambut masih hitam tetapi menipis kerana rambut gugur.

"Saya menjadikan dua aktor hollywood iaitu Sean Connery dan George Clooney yang rambut beruban tetapi sentiasa berpenampilan kemas sebagai rujukan.

"Walaupun mereka lebih berusia daripada saya, tetapi gaya penampilan keduanya cukup tersendiri membuatkan mereka kelihatan berkarisma, matang, menarik dan lebih muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 7:01 AM