SIMPAN janggut dan misai sekiranya memiliki rambut nipis.
SIMPAN janggut dan misai sekiranya memiliki rambut nipis.
Redzuan Muharam


Rambut nipis bukan saja menyebabkan seseorang buntu untuk mencari penyelesaian, tetapi hilang keyakinan diri apabila berdepan khalayak.

Malah, masalah itu adakalanya memaksa seseorang menyembunyikan kekurangan diri dengan memakai topi atau bertudung saja bagi perempuan.

Sedangkan, ada cara untuk tampil yakin dan bergaya tanpa rambut lebat dan Gen Y kongsikan lima gaya rambut sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah berkenaan:

POTONGAN PIXIE

Mereka yang berambut nipis boleh mencuba potongan ‘pixie’ yang sememangnya popular termasuk dalam kalangan selebriti terkenal.

Potongan rambut ini bukan saja universal untuk lelaki mahupun perempuan, tetapi istimewa kerana menyerlahkan keremajaan seseorang.

Ia juga membuatkan anda nampak lebih kemas dan mereka yang malas menyimpan rambut panjang boleh mencuba potongan ini.

RAMBUT BANGS

Cuba alihkan perhatian individu sekeliling terhadap rambut anda yang nipis dengan potongan bangs.

Gunakan sikat, seterika atau pengering bagi memberi ‘volume’ pada rambut anda.

Meskipun potongan bangs bukan trend terkini, ia masih relevan sehingga ke hari ini!

BOTAK

Potongan askar ini antara pilihan untuk lelaki berambut nipis namun ia tidak bermakna anda boleh mengabaikan penjagaan rambut.

Sama saja rutin penjagaannya cuma anda tidak berlu bersiap lama untuk ke kuliah atau tempat kerja.

Anda juga boleh berjimat kerana tidak perlu membeli gel rambut atau ‘wax’!

SIMPAN JANGGUT DAN MISAI

Memandangkan anda berambut nipis, cuba simpan janggut dan misai ala hipster yang kian menjadi trend masa kini.

Namun, pastikan misai dan janggut itu sentiasa dijaga rapi supaya nampak kemas dan tidak serabut.

Selain menutup kekurangan diri, misai dan janggut juga menonjolkan imej yang lebih maskulin!

GAYA PONYTAIL

Sesekali, ikat rambut dengan gaya ponytail, tetapi pastikan ikatan itu longgar supaya nampak lebih tebal.

Gaya ini cukup sesuai lebih-lebih lagi untuk gadis remaja yang gemarkan imej ringkas, tetapi masih feminin.

Paling penting, ia dapat menutup kekurangan diri anda dan untuk kelihatan bermaya, sapukan serum yang boleh mengekalkan kelembapan rambut anda sepanjang hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:08 AM