Hafizh mengharapkan jentera mantap untuk perlumbaan di Sepang. - Pix Petronas Racing
Hafizh mengharapkan jentera mantap untuk perlumbaan di Sepang. - Pix Petronas Racing

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyasarkan kedudukan lima terbaik kategori Moto2 pada pusingan ke-17 Kejuaraan MotoGP 2015 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu yakin sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya krew pasukan dapat menyediakan jentera yang mantap sambil mengharapkan keadaan cuaca baik pada hari perlumbaan, Ahad ini.

Hafizh Syahrin turut mengakui permukaan Litar SIC turut memainkan peranan untuk mana-mana pelumba termasuk beliau sendiri dalam melakar keputusan yang positif pada perlumbaan berkenaan.

"Saya cuba buat terbaik kerana beraksi di laman sendiri namun apa sahaja boleh berlaku pada hari perlumbaan. Yang penting adalah mendapatkan jentera yang mantap," katanya pada Program Hari Pembangunan Bakat Petronas di Balakong Jaya hari ini.

Pelumba Program Pembangunan Bakat Petronas itu sebelum ini, melakar sejarah menjadi pelumba wildcard negara yang meraih kedudukan ketiga kategori Moto2 di Litar SIC pada 2012.

Hafizh Syahrin kini menduduki tangga ke-18 keseluruhan daripada 28 pelumba kategori Moto2, dengan kutipan 56 mata selepas 16 pusingan perlumbaan.

Dalam pada itu, pelumba pasukan Petronas AHM Malaysia, Mohd Ramdan Mohd Rosli hanya menyasarkan untuk memperbaiki catatan masa pada penampilan wildcard keduanya dalam kategori Moto2 di Litar SIC.

Pelumba Program Pembangunan Bakat Petronas itu mendapat tiket wildcard kategori sama pada pusingan ketujuh Kejuaraan MotoGP 2015 di Litar Catalunya Sepanyol, Jun lalu, namun menduduki tangga terakhir daripada 26 pelumba.

Selain Moto2, Mohd Ramdan, 19, pernah memperoleh tiket wildcard pada pusingan ke-17 Kejuaraan MotoGP 2014 di Litar SIC namun gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah teknikal.

"Saya harus bekerja keras pada perlumbaan kali ini kerana pasukan dijangka tidak melakukan latihan ujian bebas sebelum perlumbaan sebenar berbanding tahun lepas," katanya.

Pelumba kelahiran Selangor itu turut mengakui, beraksi di laman sendiri bukan satu jaminan untuk mendapatkan keputusan cemerlang kerana saingan kali ini dijangka sengit terutamanya daripada pelumba Eropah yang sentiasa menguasai kategori Moto2 sejak beberapa tahun lepas. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 8:34 PM