MOURINHO (kiri) belum pernah tewas di Old Trafford dalam 40 perlawanan manakala Guardiola gah di persada liga dengan kelebihan lapan mata dan belum lagi tewas musim ini. -Foto Agensi
MOURINHO (kiri) belum pernah tewas di Old Trafford dalam 40 perlawanan manakala Guardiola gah di persada liga dengan kelebihan lapan mata dan belum lagi tewas musim ini. -Foto Agensi
Reuters

MANCHESTER, England: Pertembungan musuh setempat membabitkan Manchester United dengan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Ahad ini antara yang paling dinantikan musim ini.

City di bawah kendalian Pep Guardiola unggul di tangga teratas liga dengan kelebihan lapan mata selain masih belum pernah tewas sejak awal musim ini termasuk merekodkan 13 kemenangan berturut-turut - menyamai rekod kemenangan paling banyak dalam satu musim Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, United yang dibimbing Jose Mourinho tidak kurang hebatnya apabila berjaya menyamai rekod kelab itu dengan masih belum pernah tewas di Old Trafford dalam 40 perlawanan bagi semua pertandingan.

Ketika bekas jurulatih Barcelona, Guardiola dan bekas pengurus Real Madrid, Mourinho mencipta permusuhan sengit di Sepanyol, aksi Ahad ini pastinya menjanjikan sesuatu yang menarik untuk dinikmati.

Pasukan terakhir menewaskan United di laman sendiri adalah City pada September 2016 dan jika perkara sama berulang, Red Devils akan ketinggalan 11 mata dalam misi memburu gelaran liga.

Walaupun United mengalami dua kekalahan setakat ini - di tangan Huddersfield Town dan Chelsea - mereka bagaimanapun dilihat sebagai pasukan juara di laman sendiri.

Rekod 40 perlawanan tanpa kalah termasuk 29 kemenangan dan 11 seri dengan 85 gol terhasil selain hanya dibolosi 17 gol.

Musim ini, United menang semua tujuh perlawanan di Old Trafford dengan menjaringkan 20 gol dan hanya melepaskan satu gol.

Mourinho bagaimanapun akan kehilangan khidmat pemain tengah Perancis, Paul Pogba yang mula menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menang 3-1 ke atas Arsenal.

United mempamerkan aksi terbaik mereka ketika Pogba dan pemain tengah Serbia, Nemanja Matic berada di padang namun ketiadaan bekas pemain tengah Juventus itu pasti dirasai.

Bagaimanapun, Pogba berkata, United akan mengambil pendekatan positif bagi menghadapi aksi penting itu.

“Kami mahu menang dan kami perlu menang. Mereka memerlukan kemenangan kerana mereka tahu kami di belakang dan semakin merapatkan jurang,” kata Pogba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 4:19 PM