Riyadh: Arab Saudi semalam memancung seorang lagi pesalah, yang ke-89, mengatasi jumlah keseluruhan yang menjalani hukuman itu tahun lalu.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita tempatan, Kementerian Dalam Negeri Saudi berkata, Fahd bin Hussein Daghiri didapati bersalah dan dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan seorang rakan senegaranya.

Dia dipancung di wilayah Jazan.

Menurut data yang dikumpulkan AFP, Fahd ialah warga tempatan dan rakyat asing yang ke-89 dipancung di negara itu tahun ini.

Tahun lalu, 87 orang menjalani hukuman berkenaan.

Negara itu menetapkan hukuman mati terhadap mereka yang didapati bersalah menyeludup dadah, membunuh, murtad dan merompak mengguna senjata.

Hukuman pancung itu dilakukan di tempat awam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 6:59 AM