Riyadh: Arab Saudi semalam memancung orang ke-88 tahun ini, sekali gus mengatasi jumlah keseluruhan yang menjalani hukuman itu tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri berkata, tiga rakyat Saudi dipancung semalam.

Dua daripada mereka - Awad al-Rowaili dan Lafi al-Shammary - menjalani hukuman itu di Jawf, wilayah di timur negara itu, atas kesalahan menyeludup dadah.

Seorang lagi dipancung di Asir kerana kesalahan membunuh.

Pihak berkuasa negara itu memancung 87 orang atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.

Arab Saudi menetapkan hukuman mati terhadap mereka yang didapati bersalah menyeludup dadah, merogol, membunuh, murtad dan merompak menggunakan senjata.

Peningkatan jumlah pesalah yang dipancung tahun ini bermula menjelang akhir pemerintahan Raja Abdullah yang meninggal dunia 23 Juanuari lalu.

Ia bertambah secara mendadak selepas Raja Salman menaiki takhta. Aktivis tidak dapat menjelaskan punca peningkatan itu.

Seorang aktivis berkata. hukuman pancung dilaksanakan selepas diluluskan raja.

“Jika raja tegas, dia akan menandatangani dokumen membenarkan hukuman itu,” katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:19 AM