NORASHIKIN Azizan,  menunjukkan cara membersihkan arnab kepada anak-anaknya, Zohra Zulfakar, (dua dari kanan), Mina, 8, dan Reyshal, 5.
NORASHIKIN Azizan, menunjukkan cara membersihkan arnab kepada anak-anaknya, Zohra Zulfakar, (dua dari kanan), Mina, 8, dan Reyshal, 5.
Oleh Mohamad Hussin


Pameran dan Simposium Arnab Terbuka ARBA Antarabangsa 2015 kali kedua di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini mendapat penyertaan memberangsangkan.

Dianjurkan University of Malaya Entrepreneurship Centre (UMEC) dengan kerjasama Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA) dan Persatuan Pencinta Arnab Selangor (PECINTA), pertandingan itu menjadi titik pertemuan penternak dan pembiak baka arnab seluruh negara.

Pegawai Pengelola UMEC Muhammad Zulfadli Zahir berkata, pertandingan itu memberi ruang kepada pembiak baka arnab mengetengahkan haiwan mereka untuk diadili pakar yang diiktiraf Persatuan Penternak Arnab Amerika (ARBA).

Kami menerima 200 penyertaan arnab hiasan bagi kategori pertunjukan dan 100 penyertaan untuk tempatan.

“Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Vietnam antara negara luar yang mengambil bahagian.

“Dua kategori dipertandingkan ialah peringkat antarabangsa dan baka tempatan dengan setiap kategori dipecahkan kepada 18 jenis.

“Pertandingan ini diadili juri yang dibawa khas dari Amerika Syarikat iaitu Maddie Pratt dan Amanda Wampner,” katanya.

Perasmian disempurnakan Setiausaha Bahagian Program Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Dr Abdul Wahab Che Mat. Turut hadir, Pengarah UMEC Prof Dr Suhaiza Hanim Mohamad Zailani dan Pengarah UMCARE Prof Dr Norzulani Khalid.

“Penjurian adalah mengikut kategori atau jenis diwakili misalnya baka kerdil Netherland Dwarf, Holland Lop dan Mini Rex. Selain itu, baka English Lop, Florida White, English Angora, Dwarf Hotot dan French Lop, Dutch, Tan, Lion Head dan American Fuzzy Lop.

“Penjurian juga berdasarkan penilaian ciri seperti struktur tulang, bentuk badan, kaki, kuku, bulu, muka dan berat badan arnab hiasan mengikut kategori,” katanya.

Beliau berkata, bagi kategori ‘Best in Show’ dimenangi Muhamad Fadli Arbani (baka arnab Mini Lop) manakala kategori ‘Best Reserve in Show’ dimenangi Noor Azlan Elias (baka arnab English Sport).

Sementara itu, pembiak baka arnab yang juga pemilik JJ Amity Rabbitry@Aviary Ja’afar Abu Hassan berkata, penternakan arnab hiasan sudah meluas di negara ini berbanding dulu.

“Dulu orang hanya tahu arnab kampung, tetapi kini arnab sudah memiliki namanya sendiri. Terdapat lebih 50 hingga 100 baka arnab di dunia.

“Saya mempunyai dua baka arnab jenis Holland Lops dan Netherland Dwarf. Saya meminati arnab ini sejak enam tahun lalu kerana tertekan dengan tugas sebagai pegawai bank.

“Saya sanggup menghabiskan RM50,000 untuk membeli baka dan makanan sepanjang tempoh itu,” katanya yang mempunyai lebih 100 arnab di rumahnya di Kampung Rim, Jasin, Melaka.

Bagi Norashikin Azizan, 29, dari Shah Alam, Selangor, berkata, dia mempunyai sembilan arnab yang dibeli dari Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 1:02 PM